Pulau Pinang cadang PKPD di Penjara Seberang Perai

Pelaksanaan PKPD di Penjara Seberang Perai diperlukan susulan peningkatan kes melibatkan banduan dan kakitangan penjara.
Pelaksanaan PKPD di Penjara Seberang Perai diperlukan susulan peningkatan kes melibatkan banduan dan kakitangan penjara.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan supaya Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangan penjara tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Asmayani Khalib berhubung situasi terkini tiga kluster di negeri ini.

Menurutnya, susulan kes aktif bukan sahaja melibatkan banduan malah kakitangan dan ahli keluarga di Penjara Seberang Perai, maka JNKPP mengesyorkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Pulau Pinang (JKKNPP) Covid-19 agar mencadangkan pelaksanaan PKPD kepada kerajaan Pusat.

"Bagi kluster Penjara Seberang Perai, selain banduan, kes-kes aktif yang dilaporkan turut melibatkan kakitangan dan ahli-ahli keluarga penjara. Oleh itu, saya selaku Pengerusi JKKNPP bersetuju untuk mencadangkan kepada kerajaan Pusat pelaksanaan PKPD.

"Pelaksanaan itu hanya di kawasan Penjara Seberang Perai dan kawasan kuarters kakitangan penjara berkenaan. Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Pulau Pinang akan membawa cadangan berkenaan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kon Yew berkata, bagi Kluster Alma, saringan kontak-kontak rapat diteruskan oleh pihak JKNPP.

"Pelbagai platform di peringkat daerah telah digerakkan sebagai penyelarasan gerak kerja agensi di lapangan terutama membabitkan keperluan logistik, keselamatan serta bantuan-bantuan lain secara menyeluruh.

"Kerajaan negeri juga tidak menggalakkan program melibatkan perhimpunan ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM220,374 sebagai bantuan bekalan makanan dan minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Pulau Pinang.

"Peruntukan itu juga untuk pasukan keselamatan yang bertugas selain untuk pembekalan peralatan perubatan kritikal kepada JKNPP dalam menghadapi kes Covid-19 membabitkan kluster Penjara Reman dan kluster Penjara Seberang Perai," katanya.

Sehingga semalam, kluster Penjara Jawi mencatatkan 14 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 adalah sebanyak 86 kes.

Sebelum ini, dua pegawai penjara yang disahkan positif itu merupakan warden bertugas di blok baharu yang menempatkan banduan yang disahkan positif sebelum ini.