PBS tidak bertanding di PRK Batu Sapi

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan bertanding di kerusi tradisinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah pada 5 Disember depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Biro Politik baru-baru ini memandangkan keadaan koronavirus (Covid-19) yang semakin buruk di Sabah.

"Sabah terus mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 yang tertinggi di seluruh negara dan bilangannya mencecah sehingga tiga angka dalam beberapa hari ini di mana pada Ahad lalu, kita merekodkan sebanyak 702 kes.

"Dalam keadaan situasi Covid-19 yang buruk ini, PBS memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi kubu kuat kami. Sebagai parti berbilang kaum, PBS mendapat sokongan yang berterusan daripada ahli-ahli kami di Batu Sapi," katanya di sini hari ini.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut berkata, PBS juga memikirkan keselamatan dan kesihatan rakyat di Sandakan dan pengundi di Batu Sapi harus menjadi keutamaan buat masa ini.

Bagaimanapun, Maximus turut memaklumkan kepada Presiden Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PBS akan memberi sokongan terhadap mana-mana rakan kongsi dalam GRS yang bakal bertanding pada PRK Batu Sapi nanti.

"Walaupun belum diputuskan sama ada rakan-rakan lain dalam GRS akan bertanding, PBS komited dan akan memberi sokongan kepada bakal calon dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan di pihak GRS," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November ini sebagai hari penamaan calon, manakala 1 Disember hari undi awal dan hari mengundi pada 5 Disember depan.