Pelajar keracunan makanan stabil

Pelajar yang mengalami keracunan makanan sejak awal pagi semalam dimasukkan ke Hospital Jelebu.
Pelajar yang mengalami keracunan makanan sejak awal pagi semalam dimasukkan ke Hospital Jelebu.
A
A
A

JELEBU - Seramai empat daripada 207 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang yang mengalami keracunan makanan sejak awal pagi semalam dimasukkan ke Hospital Jelebu di sini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek bagaimanapun berkata, kesemua pelajar perempuan berkenaan berada dalam keadaan stabil.

"Dua daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua, manakala dua lagi masih belum dapat dipastikan. Kalau tiada masalah, mereka mungkin akan keluar esok," katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di MRSM berkenaan hari ini.

Mohamad Rafie berkata, insiden keracunan makanan itu melibatkan seramai 54 pelajar Tingkatan Satu, selain Tingkatan Dua (53 pelajar), Tingkatan Tiga (42 pelajar), Tingkatan Empat (64 pelajar) dan Tingkatan Lima (17 pelajar)

Beliau bagaimanapun berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan terkawal dan pihak pentadbiran sekolah serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengambil tindakan sewajarnya.

Mohamad Rafie ketika membuat tinjauan di MRSM berkenaan hari ini
Mohamad Rafie ketika membuat tinjauan di MRSM berkenaan hari ini

Menurutnya, sebagai tindakan susulan, dewan makan sekolah berkenaan telah diarahkan tutup selama dua minggu dan dalam tempoh berkenaan makanan akan disediakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah melalui kontraktor yang bertauliah.

"Setakat ini kita tidak boleh pastikan lagi punca keracunan itu daripada menu apa. Mungkin daripada makan malam atau minum malam. Boleh jadi puncanya sama ada daripada makanan atau minuman.

Artikel Berkaitan:

"Pejabat Kesihatan telah pun mengambil semua sampel makanan yang telah pun dihantar ke makmal untuk dianalisis dan dijangka keputusan akan diperolehi dalam tempoh satu minggu," katanya.

Mohamad Rafie berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu yang melibatkan seramai 724 pelajar akan berjalan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 100 pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan