'Tangguh bincang isu politik, tumpu usaha tangani Covid-19'

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana parti politik dinasihatkan menangguhkan sementara sebarang perbincangan bagi meredakan kehangatan politik kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, buat masa ini tumpuan harus diberikan kepada usaha menangani pandemik koronavirus (Covid-19) setelah wabak itu kembali melonjak dalam negara.

Menurutnya, perkara-perkara kurang perlu dalam politik harus dikawal agar tumpuan kerajaan memerangi Covid-19 tidak terjejas.

“Isu politik perlu reda atau ditangguhkan, tak perlu bangkitkan perkara-perkara tidak perlu buat masa ini. Mesyuarat antara UMNO dan Pas yang dijadualkan semalam pun ditangguh, termasuk Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Nampaknya kita nak redakan suhu politik, tumpu Covid-19 dulu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua jabatan persekutuan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada syarat baharu yang akan dikemukakan UMNO kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dirujuk kepada Pas sebagai rakan Muafakat Nasional bagi mengelak sebarang kesulitan kelak.

Menurut beliau, buat masa ini semua mesyuarat utama parti kemungkinan ditangguhkan ke satu tarikh lain berikutan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berakhir pada 27 Oktober depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, bagaimanapun kestabilan politik negara perlu diberikan keutamaan termasuk daripada pihak pembangkang.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu bagi peluang kepada kerajaan sekarang yang ambil pelbagai usaha menangani Covid-19 sebaik mungkin. Tiada sebab untuk mana-mana pihak gugat kerja-kerja dilakukan kerajaan hari ni samada di dalam atau luar Parlimen,” katanya.

Menurutnya, Malaysia telah diberikan pengiktirafan kedudukan tujuh terbaik dunia dalam usaha menangani Covid-19 dan usaha itu harus diteruskan.