X

Kindly register in order to view this article
!

'Keadaan kali ini lebih buruk'

Limpahan air pasang besar yang melepasi ban penahan air di Sungai Perak menyebabkan air melimpah masuk ke kediaman penduduk.
A
A

IPOH - Hampir 200 kediaman di Taman Muhibbah, Batu 6, Teluk Intan terjejas selepas dimasuki air lebih 0.5 meter akibat fenomena air pasang besar melanda kawasan itu sejak Sabtu lalu.

Banjir sekitar jam 6.30 pagi itu dipercayai berlaku akibat limpahan air pasang besar yang melepasi ban penahan air di Sungai Perak.

Penduduk, J Devi, 48, berkata, kejadian itu berlarutan sehingga hari ini mengakibatkan hampir 350 penduduk terlibat terpaksa melakukan kerja pembersihan berulang kali.

"Ini kejadian kedua sejak bulan lalu, namun kali ini keadaan lebih buruk apabila air melimpah masuk ke kediaman penduduk.

"Sebelum ini air hanya melimpah di jalan, jadi ramai penduduk tak jangka banjir sampai ke dalam rumah," katanya.

Penduduk Taman Muhibbah, Batu 6, Teluk Intan melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.
Penduduk Taman Muhibbah, Batu 6, Teluk Intan melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.

Menurutnya, tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini kerana kebanyakan rumah di situ jenis dua tingkat dan mereka masih boleh menggunakan bahagian atas sebagai tempat tidur.

"Masuk hari keempat ini keadaan semakin reda, air pasang besar masih berlaku tetapi tidak lagi masuk ke rumah penduduk.

"Cuma agak sedih bila banyak peralatan elektrik dan perkakas rumah yang rosak," katanya.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Perak mengagihkan 350 bantuan makanan kepada semua mangsa terlibat berupa makanan kering, makan tengah hari dan makan malam serta bekalan air minuman.

Agihan bantuan makanan kepada mangsa terjejas.
Agihan bantuan makanan kepada mangsa terjejas.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Menteri Besar memaklumkan, punca banjir dikenalpasti disebabkan air pasang besar dari Sungai Perak yang melimpah melalui estet berhampiran dan mengakibatkan ban pecah.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak telah melantik kontraktor bagi baik pulih ban tersebut dengan kadar segera.

"Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) juga mengambil tindakan dengan menyelenggara dan melaksana kerja kerja pembersihan kawasan tersebut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!