Tiada bazar 'Little India Deepavali' di Melaka tahun ini

Tiada bazar Little India sempena sambutan Deepavali di Melaka tahun ini selaras dengan usaha membendung penularan Covid-19. Gambar kecil:M S Mahadevan
Tiada bazar Little India sempena sambutan Deepavali di Melaka tahun ini selaras dengan usaha membendung penularan Covid-19. Gambar kecil:M S Mahadevan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Tiada bazar Little India sempena sambutan Deepavali di Melaka tahun ini selaras dengan usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Hal Ehwal Masyarakat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk M S Mahadevan berkata, keputusan tersebut dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan wakil-wakil peniaga bazar pada Jumaat lalu dan semalam.

“Dengan mengambil kira keadaan semasa ketika ini, kami putuskan tidak ada bazar Little India serta program pentas dan kebudayaan di Jalan Bendahara tahun ini kerana keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini adalah menjadi keutamaan.

"Kami tidak mahu dalam keghairahan menyambut Deepavali atau Pesta Cahaya, akan mewujudkan pula kluster baharu, namun peniaga kedai sedia ada di kawasan itu boleh beroperasi seperti biasa tetapi mereka harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahadevan yang juga Pengerusi MIC Melaka mencadangkan supaya peniaga bazar menjalankan operasi perniagaan secara dalam talian atau di premis dan kediaman masing-masing termasuk menggunakan khidmat penghantaran.

"Kerajaan negeri juga berusaha membantu peniaga bazar ini bagi meringankan beban terutama keluarga yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya setiap tahun secara purata sebanyak 30 peniaga terlibat dengan bazar Little India di negeri itu yang diadakan sepanjang dua minggu sebelum perayaan Deepavali.

Masyarakat India akan menyambut Deepavali pada 14 November ini dan sehingga kini, Melaka mencatatkan 299 kes positif Covid-19 termasuk 16 kes baharu dikesan semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: