X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

PPM rampas arak seludup bernilai RM282,281

PPM Wilayah Dua berjaya merampas arak seludup dari dua buah kereta di Taman Nusaria dan Medan Nusa Perintis 8, Gelang Patah malam semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan dua lelaki dan merampas minuman keras seludup bernilai RM282,281 dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini malam semalam.

Komander Pasukan PMM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, sebelum melakukan serbuan sepasukan anggota dan pegawai PPM Wilayah Dua yang sedang membuat rondaan terlihat dua kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota PPM berkenaan kemudian mengekori kedua kereta tersebut sehingga sampai ke lokasi pertama di Taman Nusaria, Gelang Patah dan pihak PPM berjaya memintas sebuah kereta Honda City 1.5.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu pada jam 8.20 malam menemui 64 karton dan kotak arak seludup pada bahagian but dan tempat duduk belakang penumpang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan pada jam 8.50 malam di Medan Nusa Perintis 8, Gelang Patah dan berjaya menahan kereta Hyundai Getz.

Jelasnya, sejumlah 87 karton minuman keras tidak bercukai kastam ditemui juga di bahagian but dan tempat duduk belakang penumpang.

Katanya, pihaknya menahan pemandu kedua-dua kereta itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun.

"Nilai keseluruhan rampasan arak dan dua kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM282,281.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Muhd Zailani turut meminta masyarakat berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!