Penghuni kuarters penjara reman 99 peratus negatif Covid-19

Seramai lebih 300 kakitangan dan penghuni kuarters Penjara Reman Pulau Pinang menjalani saringan Covid-19 Sabtu lalu.
Seramai lebih 300 kakitangan dan penghuni kuarters Penjara Reman Pulau Pinang menjalani saringan Covid-19 Sabtu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 99 peratus keputusan ujian saringan koronavirus (Covid-19) ke atas lebih 300 kakitangan dan penghuni kuarters Penjara Reman Pulau Pinang didapati negatif.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, seramai lebih 300 kakitangan dan penghuni kuarters penjara itu menjalani saringan, namun baki keputusan ujian tersebut masih belum diperoleh dan dijangka diketahui selewat-lewatnya esok.

"Kesemua penghuni dan kakitangan kuarters sudah selesai menjalani ujian saringan yang bermula sejak Khamis hingga Sabtu lalu. Sehingga hari ini, 99 peratus keputusan yang diterima didapati negatif.

"Selain itu, semua kakitangan penjara menjalani ujian saringan sebanyak dua kali dan kedua-duanya negatif. Sehingga semalam, tiada kes positif melibatkan petugas atau kakitangan penjara di Penjara Reman Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi tadi.

Mohamed Jusoh juga mengesahkan bahawa kesemua kakitangan penjara menjalani ujian darah bermula semalam.

"Walaupun keputusan kedua-dua ujian saringan kakitangan penjara menunjukkan negatif, pihak penjara bersama Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan ujian darah ke atas mereka.

"Alhamdulillah, tiada penambahan kes di penjara ini yang mana, setakat ini seramai 399 banduan yang disahkan positif sedang menerima rawatan. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Sehingga semalam, laporan dikeluarkan KKM menunjukkan tiada pertambahan kes bagi kluster Penjara Reman menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kekal 399.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD dilaksanakan di penjara itu dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 15 Oktober membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman selain turut membabitkan 220 petugas dan keluarga yang tidak menetap di dalam kuarters.