Lelaki pukul bomba dijel sebulan, denda RM6,000

Kan Hong Kit (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan ke atas anggota bomba dan memandu secara melulu hari ini.
Kan Hong Kit (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan ke atas anggota bomba dan memandu secara melulu hari ini.
A
A
A

KAJANG - Seorang pengurus acara sambilan dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes mencederakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kan Hong Kit, 33, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, pemuda yang masih bujang itu didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi tujuan menghalang penjawat awam, Alfred Rudy Anak Tungku daripada menjalankan kewajipan sebagai anggota bomba di tepi Jalan Suakasih, Batu 9 Cheras, Selangor pada jam 10.40 pagi, 15 Oktober lalu.

Pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hairuliqram Hairuddin di hadapan Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib merayu hukuman minima.

“Dia mengaku kesal atas kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Hairuliqram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak memperlekehkan tugas barisan hadapan.

“Kejadian berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana orang ramai sepatutnya memberi kerjasama kepada penjawat awam apatah lagi anggota bomba berkenaan sedang memadamkan kebakaran kereta tertuduh.

Artikel Berkaitan:

“Demi keselamatan orang awam, tertuduh tidak sepatutnya mencederakan anggota bomba, kerana ia mengelak letupan besar di lokasi tersebut,” katanya.

Bagi kesalahan itu, Majistret Muhammad Noor Firdaus menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan.

Sementara satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Proton Pesona secara melulu atau dengan kelajuan atau merbahaya kepada orang awam.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Suadamai pada jam 10.26 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan dan pemegang lesen memandu percubaan akan dibatalkan.

Bagi kesalahan itu, Majistret, Syahrul Sazly Md Sain menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM6,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan yang mana tertuduh perlu menamatkan tempoh hukuman penjara sebulan diikuti penjara lima bulan selain lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun.

Khamis lalu, tular video seorang lelaki menyerang anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran membabitkan sebuah kereta di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn di sini.