Anggota polis maut akibat kereta buat pusingan U

Kenderaan (SUV) Nissan Xtrail yang dipandu seorang wanita terbabit dalam kemalangan dengan mangsa di di Jalan Tambak Paya-Tehel, malam tadi. Gambar kecil: Muhammad Siddiq Esa
Kenderaan (SUV) Nissan Xtrail yang dipandu seorang wanita terbabit dalam kemalangan dengan mangsa di di Jalan Tambak Paya-Tehel, malam tadi. Gambar kecil: Muhammad Siddiq Esa
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tambak Paya - Tehel, malam tadi ketika sedang dalam perjalanan untuk bertugas di Balai Lenga Muar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Muhammad Siddiq Esa, 25, dalam perjalanan dari rumahnya di Jasin menghala ke Muar.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Nissan Xtrail dipandu seorang wanita berusia 27 tahun bersama suaminya membuat pusingan U kerana mahu ke kedai berhampiran.

Menurutnya, pada masa sama mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 dari arah Jasin tidak dapat mengelak lalu merempuh tepat sisi kenderaan terbabit yang datang dari arah Bandar Melaka.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba dari Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan dan kenderaan terlibat dibawa ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemandu kenderaan juga dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan dadah dan alkohol.

"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: