Rakyat bosan, meluat tindak-tanduk ahli politik: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut berpandangan bahawa rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran serta bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

Mohamad Munir berkata, baginda berdukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19) serta ditambah pula dengan kedudukan ekonomi mereka yang amat terjejas.

"Baginda bertitah agar ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

"Kesusahan dan penderitaan rakyat dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan media Sultan Sharafuddin berhubung kemelut politik negara.
Kenyataan media Sultan Sharafuddin berhubung kemelut politik negara.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menasihati semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik Covid-19 itu.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut sependapat dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda itu.

"Oleh demikian, baginda mahukan semua pihak terutama ahli-ahli politik untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus membantu rakyat serta negara dalam menangani masalah penyebaran wabak Covid-19, di samping membina semula ekonomi yang teruk terjejas," katanya.