Covid-19: Kelantan hantar pegawai kesihatan ke Sabah

Barisan pegawai kesihatan dan jururawat yang menyertai Misi Bantuan Covid-19 di Sabah sejak 4 Oktober lalu bergambar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berlepas ke Sabah.
Barisan pegawai kesihatan dan jururawat yang menyertai Misi Bantuan Covid-19 di Sabah sejak 4 Oktober lalu bergambar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berlepas ke Sabah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 33 pegawai kesihatan dari pelbagai daerah dan hospital di Kelantan menyertai Misi Bantuan koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, mereka terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Untuk rekod, pasukan bantuan kesihatan dari negeri Kelantan ialah seramai 33 orang melibatkan empat kumpulan dan kumpulan pertama adalah pada 4 Oktober lalu seramai lapan orang. Mereka terdiri daripada Pegawai Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tengku Anis, Hospital Gua Musang, Hospital Machang dan Hospital Sultan Ismail Petra.

"Kumpulan kedua pula ialah pada 11 Oktober melibatkan tujuh jururawat dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tengku Anis, Hospital Gua Musang, Hospital Sultan Ismail Petra dan Hospital Tanah Merah," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut, untuk kumpulan ketiga dan keempat seramai 18 orang bergerak pada 19 Oktober melibatkan Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, Penolong Pegawai Perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai dan Penolong Pegawai Perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh.

Selain itu, turut serta ialah Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Jeli dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai.

"10 orang lagi ialah Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tanah Merah dan Hospital Sultan Ismail Petra. Selamat berkhidmat dan jaga diri baik-baik. Semoga dalam lindungan Allah S.W.T," katanya.

Izani ketika dihubungi Sinar Harian juga memberitahu, pihaknya berharap seluruh rakyat Kelantan dan semua rakyat Malaysia dapat menjaga diri, jaga jarak dan lakukan prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin kita mampu mengubahnya dengan kerjasama semua pihak terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk ketika ini. Sama-sama kita berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan kita mengawal pandemik ini," katanya.