Op Benteng: 497 migran, 28 tekong diusir keluar

Affendi Buang
Affendi Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 497 migran dan 28 tekong telah diusir melalui Op Benteng di Sarawak hasil koordinasi bersepadu Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) bagi tempoh 1 Mei sehingga Ahad lepas.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 459 warga Indonesia manakala selebihnya merupakan warga asing dari pelbagai negara antaranya Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Beliau berkata, 28 tekong itu merupakan tekong darat yang terdiri daripada 23 tekong Indonesia dan lima tekong tempatan.

"Mereka telah diusir melalui 56 pengusiran yang dilakukan pelbagai agensi seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Sukarelawan.

"Ia merupakan langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19 oleh migran dan Op Benteng di bawah NTF sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak dan persempadanan maritim mahupun daratan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata, aspek kesiagaan kawalan sempadan diberi perhatian susulan situasi peningkatan wabak itu di Sabah, selain memberi tumpuan kepada lorong-lorong tikus yang menjadi titik panas migran untuk masuk dan keluar dari Sarawak.

Beliau berkata, penugasan NTF di Sarawak meliputi atur gerak komponen maritim merangkumi lapan sektor rondaan antaranya tentera laut, tentera darat, Pasukan Polis Marin manakala komponen daratan timur melibatkan Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Sukarelawan.

“Melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada iaitu Op Awas/ Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan yang dioperasikan Tentera Darat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi berkenaan melibatkan kawalan persempadanan di sektor Biawak, Kandie, Serikin, Tebedu, Balai Ringin dan Lubok Antu di Sarawak.

“Masyarakat terutama di Sarawak digesa bekerjasama dalam menyalurkan maklumat berkenaan pendatang asing tanpa izin, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian utama Pusat Operasi NTF (011-6251 1223),” katanya. - Bernama