Setiap parti dalam PN saling bergantung

Mohd Tarmizi (dua dari kiri) bertanya khabar penduduk pada program ziarah rakyat di Kampung Pasir Kemudi dan Kampung Panching hari ini.
Mohd Tarmizi (dua dari kiri) bertanya khabar penduduk pada program ziarah rakyat di Kampung Pasir Kemudi dan Kampung Panching hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Tiga parti utama dalam Perikatan Nasional (PN) saling bergantung antara satu sama lain dalam menguatkan kedudukan sedia ada.

Ketua Penerangan Pas Negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sifat kebergantungan antara parti Barisan Nasional (BN) atau UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam PN menjadi asas pembentukan kerajaan pada Mac lalu.

"Tidak ada istilah dari tiga parti ini perlu mengalah antara satu sama lain. Pas bergantung kepada UMNO dan Bersatu, begitu juga UMNO bergantung kepada Bersatu dan Pas serta Bersatu bergantung kepada Pas dan UMNO. Saling bergantung satu sama lain.

“Jadi, masing-masing perlu melihat sejauh mana hubungan yang dimeterai ini dapat dieratkan dan dimantapkan demi kelangsungan kuasa Melayu Islam di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai pergolakan politik antara Bersatu dan UMNO beberapa hari lalu.

Mohd Tarmizi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching sebelum itu mengadakan ziarah rakyat di Kampung Pasir Kemudi dan Kampung Panching dalam usaha mendekati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching hari ini.

Menurutnya, semua pihak dalam parti perlu memikirkan dan meletakkan masalah rakyat yang lebih utama daripada masalah peribadi serta kepentingan parti masing-masing.

Tambah beliau, kepimpinan dalam parti sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan ketegangan yang sedang berlaku pada masa kini.

"Jadi, semua parti kena berusaha mengelak dan menjauhi gangguan luar terutama golongan yang mahu melihat perpecahan antara parti-parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.

Artikel Berkaitan:

"Jika, kita melayan gangguan luar ini, pasti akan memberi peluang kepada mereka (Pakatan Harapan) untuk mengambil alih kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, gabungan PN perlu diteruskan, dimantapkan dan diperkasakan sebaiknya.

Selain itu, Mohd Tarmizi juga mahu semua parti dalam gabungan PN menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai medan muhasabah.

"PRN Sabah itu sebagai kayu ukur untuk PN melihat bagaimana pentingnya kuasa itu disatukan dan memastikan PRU15 hanya berlaku pertandingan dua penjuru.

"PN perlu mengelak daripada berlakunya tiga penjuru. Oleh demikian, perkara ini perlu diurus oleh semua parti atau ketiga parti besar PN untuk memastikan kerjasama yang boleh menggembirakan rakyat," katanya.