Puluhan burung ciak rumah mati diracun pesawah

Mohd Nazri (kanan) dan Shahrizan Saad melihat bangkai burung Ciak Rumah yang ditemukan di sekitar Taman Wawasan Indah, Ulu Melaka hari ini. - Foto Bernama
Mohd Nazri (kanan) dan Shahrizan Saad melihat bangkai burung Ciak Rumah yang ditemukan di sekitar Taman Wawasan Indah, Ulu Melaka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Puluhan burung ciak rumah ditemui mati dipercayai akibat diracun pesawah, berhampiran sebuah kawasan perumahan di Ulu Melaka di sini sejak Ahad lalu.

Seorang penduduk Shahrizan Saad, 39, berkata, bangkai burung itu ditemui di atas pokok, bumbung dan pagar rumah di kawasan tersebut dalam keadaan cecair kuning keluar dari mulut.

“Saya mula nampak bangkai burung di sekitar kawasan ini kira-kira jam 6 petang, Ahad, anak saya berjaya kumpul 31 ekor bangkai burung pada hari tersebut. Tengah hari semalam, saya temui lagi bangkai burung, setakat semalam sudah 80 ekor bangkai sudah ditemui rata-rata burung ciak rumah termasuk seekor burung tekukur.

“Semalam juga, saya jumpa seorang pesawah dan dia mengaku ada letak racun 'furadan' dalam benih padi kerana sakit hati padi miliknya dimakan burung,” katanya ketika ditemui di Taman Wawasan Indah, di sini hari ini.

Shahrizan berkata, dia percaya banyak lagi bangkai akan ditemui kerana burung akan makan racun di kawasan sawah di waktu pagi sebelum terbang ke lokasi lain.

“Sejak lima tahun tinggal di kawasan perumahan yang dikelilingi bendang ini, pertama kali saya lihat banyak bangkai burung bergelimpang di sini. Memang rasa sedih melihat banyak bangkai burung mati akibat diracun,” katanya.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati pegawai Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi berada di lokasi tersebut untuk mengambil bangkai burung yang ditemui selepas mendapat aduan awam.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hidupan Liar Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi, Mohd Nazri Amran berkata, hasil siasatan mendapati burung ciak rumah dan tekukur tidak berada dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan awal mendapati bangkai yang ditemui ialah burung ciak rumah atau nama saintifiknya ‘passer montanus’. Burung ciak rumah dan burung tekukur tidak termasuk dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Aktiviti meracun sekiranya menyebabkan burung yang berada dalam senarai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 terjejas, kita boleh ambil tindakan. Dalam kejadian kali ini tiada tindakan dapat diambil terhadap pesawah tersebut namun kita akan maklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku,” katanya. - Bernama