X

Kindly register in order to view this article
!

Alaska dilanda gempa bumi kuat, penduduk diarah berpindah

Gambar fail menunjukkan buku-buku bertaburan di sebuah perpustakaan akibat gempa bumi kuat di Anchorage, Alaska. - Foto AFP
A
A

LOS ANGELES - Satu gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud mengakibatkan terjadinya tsunami kecil semalam di luar pantai Alaska, kata sebuah agensi Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada laporan tentang kematian dan kecederaan berikutan tsunami tersebut.

Sejumlah penduduk dipindahkan ke kawasan tinggi ketika amaran tsunami dikeluarkan di pantai selatan di negeri AS itu termasuk di Semenanjung Alaska yang mempunyai sejumlah kecil penghuni, menurut Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera (NOAA).

Dua ombak kecil dilaporkan berlaku di sebuah bandar kecil Sand Point kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa bumi yang sedalam 40 kilometer.

Zon yang dijangka berisiko tinggi dan terjejas akibat tsunami itu adalah seluas ratusan kilometer di kawasan timur laut Alaska sehingga ke Cook Inlet.

Gempa bumi sekuat 7.5 magnitud boleh menyebabkan berlakunya tsunami.
Gempa bumi sekuat 7.5 magnitud boleh menyebabkan berlakunya tsunami.

Amaran tsunami itu kemudian diturunkan kepada amat sederhana.

Gegaran gempa bumi itu dapat dirasakan di bandar King Cove iaitu pusat komuniti Semenanjung Alaska tetapi dipercayai tidak membawa kerosakan besar.

Seorang penduduk Cold Bay, Michael Ashley berkata kepada akhbar Anchorage Daily News: "Semua bangku dan almari buku bergerak dan saya terpaksa menahannya daripada jatuh."

Dalam pada itu, Kajian Geologi AS menyatakan besar kemungkinan terdapat kerosakan dan kecelakaan akibat gempa bumi tersebut.

Gempa bumi kuat itu diikuti dengan lima gegaran berukuran 5.0 magnitud atau lebih kuat lagi.

Ia berlaku selepas hampir tiga bulan satu gempa bumi berukuran 7.8 magnitud berlaku kira-kira 104.6 kilometer ke selatan tenggara Perryville, Alaska yang menyebabkan amaran tsunami turut dikeluarkan.

Alaska terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

Negeri itu pernah dilanda dengan gempa bumi sekuat 9.2 magnitud pada Mac 1964 yang paling kuat pernah direkodkan di Amerika Utara.

Ia membawa kemusnahan di Anchorage dan menyebabkan tsunami melanda Teluk Alaska, pantai barat AS dan Hawaii.

Lebih 250 orang terbunuh dalam kejadian itu. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!