Pemegang Kad Prihatin Pahang dapat diskaun hingga 50 peratus

Zuhairi Ab Kadir
Zuhairi Ab Kadir
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) mewujudkan program Kad Prihatin Pahang bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat PAKP, Datuk Sri Zuhairi Ab Kadir berkata, kad prihatin ini mampu memberikan diskaun kepada pemegang kad antara lima hingga 50 peratus.

Menurutnya, penggunaan kad prihatin ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih seperti perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan serta pendidikan.

“Jadi, pelanggan atau pemegang kad hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik ditawarkan rakan niaga PAKP mengikut terma dan syarat ditetapkan.

"Kita yakin dengan program kad prihatin ini mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan kos keseluruhan sistem kad itu bernilai RM2 juta, dibangunkan Trizure International Malaysia Sdn Bhd.

Katanya, sistem kad diskaun itu berbeza dengan mana-mana kad diskaun lain kerana PAKP turut menempatkan perusahaan kecil sederhana (PKS) dan peniaga dalam talian (online) untuk memberi banyak pilihan kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.

Zuhairi berkata, kemudahan itu turut disediakan kepada pelanggan baharu untuk melihat kategori promosi dan pemasaran rakan niaga PAKP menerusi laman web www.pahang prihatincard.com

Artikel Berkaitan:

“Sejajar dengan slogan kami ‘Di Pahang, Segalanya Jimat’, dan kami meletakkan sasaran pengguna kad ini kepada kira-kira 500,000 orang sehingga pertengahan tahun hadapan yang juga akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga PAKP.

“Sebagai permulaan, kami giat melakukan pendaftaran rakan niaga dan jumlah penyertaan akan bertambah dari masa ke masa sebelum kad diskaun diedarkan kepada ahli-ahli di negeri ini," katanya.