162 kawasan mula terima bekalan air

Sebanyak 162 kawasan kini pulih dan mula mendapat bekalan air setakat jam 9 pagi tadi.
Sebanyak 162 kawasan kini pulih dan mula mendapat bekalan air setakat jam 9 pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 162 kawasan yang terjejas dengan gangguan air sebelum ini telah mula menerima bekalan berkenaan setakat jam 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, susulan itu, sekitar 1,130 kawasan di wilayah yang terjejas dilaporkan masih berada dalam proses pemulihan bekalan air.

"Sehingga jam 9 pagi tadi, sejumlah 162 kawasan meliputi 13 peratus kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi semalam.

Pencemaran tersebut telah menyebabkan penutupan empat loji iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Dalam pada itu, Air Selangor memaklumkan sebanyak 121 lori tangki air telah digerakkan bagi memberikan bantuan bekalan ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan kawasan perumahan yang terjejas.

"Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan," katanya.

Artikel Berkaitan: