Sultan Selangor perkenan MPSJ dinaik taraf bandar raya

MPSJ dinaik taraf ke MBSJ berkuat kuasa hari ini.
MPSJ dinaik taraf ke MBSJ berkuat kuasa hari ini.
A
A
A

SUBANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinaik taraf dan diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkuatkuasa hari ini.

Menerusi teks perutusan pengisytiharan oleh baginda, Sultan Selangor turut berkenan menetapkan gelaran Yang Dipertua (YDP) Subang Jaya sebagai Datuk Bandar Subang Jaya.

"Ahli-ahli MPSJ juga hendaklah ditafsirkan sebagai ahli-ahli MBPJ," titah baginda.

MBSJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua yang dinaik taraf di Selangor pada tahun ini selepas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada 9 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, berdasarkan perancangan awal, Majlis Pengisytiharan Bandaraya Subang Jaya sepatutnya diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Sultan Sharafuddin memberi perkenan supaya majlis itu diadakan secara maya atau melalui media massa.

"Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Datuk Bandar MBSJ akan diadakan di Istana Bukit Kayangan pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selaras dengan pengisytiharan itu, YDP MPSJ, Noraini Roslan juga akan dilantik sebagai Datuk Bandar Subang Jaya mengikut peruntukan Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Selangor merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor di atas perkenan yang diberikan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya berharap dengan pemasyhuran MBSJ ini, pembangunan mampan di Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan lagi menerusi sistem penyampaian berkelas dunia.

"Dengan izin ALLAH, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama," katanya.