Malaysia-China kekal akrab, hadapi masalah bersama

Wang Yi (kiri) mengadakan sidang akhbar bersama Hishammuddin selepas membuat lawatan sehari ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.
Wang Yi (kiri) mengadakan sidang akhbar bersama Hishammuddin selepas membuat lawatan sehari ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu membawa dua khabar berita yang menggembirakan Malaysia.

Pertama, China telah menyenaraikan Malaysia sebagai ‘penerima keutamaan’ empat vaksin China untuk koronavirus (Covid-19) yang dijangka memanfaatkan seluruh dunia pada awal tahun hadapan.

Kedua, seperti yang dikatakan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, republik itu juga bersetuju membeli minyak sawit Malaysia dan produknya sebanyak 1.7 juta tan hingga tahun 2023.

“Ia bukan sahaja membawa kepentingan kepada ekonomi dan Felda tetapi lebih utama, ia bakal memberi manfaat kepada peneroka di seluruh negara,” kata Hishammuddin.

Dalam lawatan itu, selain mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi turut mengunjungi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai halhal berkaitan kepentingan antara kedua-dua negara.

Ia adalah kunjungan pertama Wang Yi ke Malaysia sebagai Menteri Luar China sejak tercetusnya penularan Covid-19.

Kunjungan itu juga mencerminkan hubungan yang erat terjalin dan membuktikan kepercayaan bersama antara republik China serta kerajaan Malaysia.

China sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan akrab apatah lagi ketika menghadapi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Republik China juga telah menghantar pelbagai bantuan kepada Malaysia untuk memerangi pandemik tersebut dengan menderma peralatan perlindungan diri (PPE) kepada beberapa hospital yang memerlukan.

Tidak ketinggalan, Malaysia juga bertuah apabila sepasukan lapan pakar perubatan dari China tiba di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada April lalu untuk memberi nasihat serta berkongsi pengalaman dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Malaysia dan China bekerjasama dan bersatu meneruskan tradisi ketika menghadapi masalah bersama. Itulah gambaran pentingnya hubungan Malaysia dengan negara-negara luar yang besar seperti China.

Dalam lawatan Menteri Luar China itu, sektor-sektor pengangkutan seperti Jalur Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek-projek lain turut dibincangkan yang mampu membawa manfaat jangka masa panjang kepada kedua-dua pihak.

Isu politik membabitkan hubungan dua hala seperti tuntutan bertindih di Laut China Selatan juga dibangkitkan.

Dalam isu tersebut, Malaysia dan China sentiasa menekankan bahawa keamanan perlu dipelihara sepanjang masa di perairan berkenaan.

China sendiri telah setuju untuk mengekalkan kestabilan seperti dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) dan Code of Conduct in South China Sea.

Begitu juga, bagaimana kerjasama boleh diperkukuhkan dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang mampu mengembangkan momentum pembangunan dan mendorong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi untuk kedua-dua negara.

Persahabatan antara Malaysia dan China yang mengikat hubungan diplomatik sejak tahun 1974 pastinya akan lebih erat selepas ini.

Malaysia sebagai negara yang kecil tentu mendapat banyak faedah dalam apa juga bidang sekiranya bersahabat dengan negara-negara besar seperti China.

Namun, dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara luar, apa yang penting ialah Malaysia tidak pernah tunduk kepada negara-negara kuasa besar sebaliknya tetap teguh dengan prinsip menegakkan kedaulatan negara sampai bila-bila.