Anggap kepayahan hadiah daripada ALLAH

Dari kiri: Fazrul, Mohamad Azlan, Mohd Daud dan Ustaz Husaini menunjukan plakad Wacana al-Quran selepas selesi Wacana al-Quran Siri 2 bertajuk Antara Nasi dan Buku yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB

A
A
A

SHAH ALAM - "Saya anggap kepayahan yang dialami ketika berada dalam kemiskinan sebelum ini sebagai satu tarbiah dan bungkusan hadiah daripada ALLAH yang sengaja dibalut dengan sedikit kesulitan untuk mendorong saya mencapai kejayaan," kata Pengerusi Koperasi Azlan Al-Amin Group, Mohamad Azlan Abdullah@Ali, 33, yang berkongsi pengalamannya sebelum mengecap kejayaan pada hari ini.

Menurutnya, dengan cara itu, beliau tidak akan melihat segala kesulitan itu sebagai halangan untuk memasang cita-cita atau impian besar, sebaliknya menjadikannya sebagai satu dorongan untuk bergerak lebih jauh.

"Apabila saya rasai sendiri kesusahan itu secara realiti, saya positifkan fikiran dan mengambil langkah untuk berdamai dengan ujian.

"Saya melihat cabaran itu sebagai satu perkara yang boleh membawa saya ke arah yang lebih baik selain menguatkan iman dalam diri kerana dengan iman, kita tidak akan merasa hina apabila berada di bawah dan dengan iman juga kita tidak akan merasa diri mulia apabila ALLAH menguji ketika kita berada di atas," katanya ketika menjadi panelis pada Wacana al-Quran bertajuk Antara Nasi dan Buku yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, di sini semalam.

Turut menjadi panelis pada program itu ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie /Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang memperdengarkan bacaan surah al-Balad.

Mohamad Azlan - FOTO ROSLI TALIB
Mohamad Azlan - FOTO ROSLI TALIB

Mohamad Azlan berkata, iman juga akan menghadirkan harapan, sekali gus mewujudkan cita-cita serta impian untuk seseorang itu mencapainya.

Katanya, tanpa panduan daripada iman, cita-cita seseorang itu tidak akan berjaya dan jika berjaya sekalipun, ia tidak mendapat keberkatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga melihat kesusahan yang dialami dahulu tidak jauh bezanya dengan keadaan yang dilalui seluruh masyarakat Malaysia hari ini yang berdepan serta terbelenggu dengan cabaran akibat daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya berharap semua dapat melihat cabaran Covid-19 sebagai satu hikmah dalam kehidupan di mana sebenarnya 'ada sesuatu di depan' yang lebih baik untuk mereka. Saya lihat ALLAH mentarbiah kita dengan hikmah di sepanjang jalan supaya kita belajar daripada kesulitan dan terus berusaha untuk berjaya," katanya mengulas tentang soal manusia yang 'kabad' (mengalami kesukaran) yang disebutkan dalam surah al-Balad.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan turut berkongsi sewaktu berada dalam kemiskinan, beliau tidak berhasrat menjadi pengemis yang berserah dan sentiasa berusaha disusuli dengan doa dan tawakal kepada ALLAH.

Dari kiri: Fazrul, Mohamad Azlan, Mohd Daud dan Ustaz Husaini menunjukan plakad Wacana al-Quran selepas selesi Wacana al-Quran Siri 2 bertajuk Antara Nasi dan Buku yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri: Fazrul, Mohamad Azlan, Mohd Daud dan Ustaz Husaini menunjukan plakad Wacana al-Quran selepas selesi Wacana al-Quran Siri 2 bertajuk Antara Nasi dan Buku yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO ROSLI TALIB

"Sewaktu dalam kemiskinan, saya fikir nak ubah nasib diri dan keluarga tapi bila dah melalui proses perjalanan dalam hidup, ALLAH kurniakan sedikit kejayaan dan baru saya nampak bahawa tujuan hidup lebih daripada untuk diri dan keluarga bahkan untuk orang sekeliling yang memerlukan.

"Lagi pun seringkali kita dengar tangan di atas lebih mulia daripada yang di bawah tapi itu tidak bermaksud tangan di bawah itu hina. Cuma tangan yang menerima itu sangat gembira tetapi tangan memberi lebih bahagia.

"Jadi saya lihat apabila seseorang itu dikurniakan ALLAH secebis kejayaan, orang kaya sebenarnya amanah tapi miskin adalah tanggungjawab," katanya.

Jelasnya, walaupun seseorang itu miskin, mereka tidak boleh menjadikannya alasan untuk terus berada dalam kemiskinan sepanjang zaman, sebaliknya perlu berusaha selain mengembalikan semula kepada orang memerlukan apabila sudah menjadi kaya.