35,938 peluang pekerjaan ditawarkan


Ruhaidini (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta kursus pada Majlis Penutup Seminar Keusahawanan Bagi Kursus Jahitan Baju Sekolah Mini Pukal
di Dewan Padang Luas, Bera semalam.
Ruhaidini (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta kursus pada Majlis Penutup Seminar Keusahawanan Bagi Kursus Jahitan Baju Sekolah Mini Pukal di Dewan Padang Luas, Bera semalam.
A
A
A

BERA- Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) menerima lebih 10,000 kertas cadangan melibatkan seramai 2,548 majikan yang menawarkan peluang pekerjaan dan 2,525 penyedia latihan menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, jumlah tersebut adalah sehingga 30 September lalu sejak inisiatif itu dilancarkan pada 22 Jun lepas.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, sebanyak 35,938 peluang pekerjaan berjaya ditawarkan di seluruh Malaysia.

“Penjana merupakan pelan komprehensif oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara untuk mengurangkan impak koronavirus (Covid-19).

“Ia terdiri daripada subsidi gaji, latihan dan peningkatan kemahiran, penangguhan cukai kepada pelabur, geran serta pelbagai inisiatif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Seminar Keusahawanan Bagi Kursus Jahitan Baju Sekolah Mini Pukal di Dewan Padang Luas di sini semalam.

Seramai 250 peserta wanita berusia 18 hingga 63 tahun sekitar Bera dan Temerloh menyertai kursus secara percuma yang dijalankan dalam dua fasa selama 10 hari sejak 8 Oktober lalu.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan dan Ketua Pegawai Eksekutif PennaWrites, Sharen Alzalip.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan pakar pemasaran, V Kumar diundang untuk menyampaikan ceramah pada program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sabariah berkata, kesemua peserta berpeluang menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu HRDF dan pihaknya bercadang membuka sebuah kilang jahitan di daerah itu.

“Tapak telah dikenal pasti dan kilang akan dibuka secepat mungkin. Ia bertujuan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka dan penduduk setempat,” katanya.

Sharen berkata, kursus tersebut julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur, manakala kilang yang bakal beroperasi akan menjadi hab jahitan komuniti.

Dalam pada itu, seorang peserta, Misliza Misran, 46, dari Kampung Kuala Bera mengakui beliau kini lebih yakin dengan kemahiran dimiliki.

“Saya sudah ada asas menjahit dan kursus percuma ini menambahkan lagi ilmu pengetahuan saya,” katanya.

Reaksi sama turut dikongsi Norlaila Yaakob, 46, dari Kampung Paya Serai di sini yang berjanji menggunakan kemahiran itu untuk mencari pendapatan sampingan.