Mohon reman melalui sidang video

Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang membolehkan permohonan perintah tahanan reman dan pelanjutan tempoh reman banduan di mahkamah dilakukan melalui sidang video.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di mahkamah.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat tanpa memerlukan banduan hadir ke mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman mereka dan sebagai usaha mengelak kebarangkalian penularan pandemik itu di institusi mahkamah.

"Selain itu, pihak penjara pada masa sama kini mempunyai SOP ketat dengan membuat ketetapan bahawa kesemua banduan baharu sebelum dimasukkan ke penjara tertentu perlu ditempatkan di pusat transit dan menjalani ujian swab," katanya dalam sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, banduan terbabit kemudian akan dikuarantin selama 14 hari dan perlu disahkan negatif sebelum ditempatkan di penjara seluruh negara.

"Difahamkan banduan ini juga akan diletak di satu tempat khas selama lima hari dalam penjara terbabit. Bila betul-betul negatif, barulah mereka ditempatkan bersama banduan lain seperti biasa.

"Bagi banduan yang memang sudah berada dalam penjara sedia ada, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat saringan bagi memastikan tiada seorang pun daripada mereka positif namun jika ada didapati positif, mereka akan terus dihantar ke hospital," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: