‘Perlu berani rempuh jalan sukar’

Mohd Daud
Mohd Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia sejak Disember tahun lalu meninggalkan impak besar sehingga melumpuhkan aktiviti ekonomi, operasi sektor utama dan menjejaskan kehidupan masyarakat khususnya di Malaysia.

Kini, pelbagai cabaran serta kepayahan perlu ditempuhi untuk rakyat bangkit semula membina dan memulihkan negara di samping mencari penyelesaian bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, jika melihat kepada kandungan surah al-Balad yang menyentuh soal pembinaan negara atau negeri pada zaman dahulu, terdapat contoh yang boleh diambil iktibar untuk menangani isu yang dihadapi pada masa kini dalam konteks pandemik Covid-19.

“Sebab itu, al-Quran sebut dari awal sehingga akhir ia sentiasa ajak kita beramal, berfikir dan bekerja. “Dalam konteks pandemik Covid-19, ia mengajak kita merungkai ilmu perubatan moden, mencari teori ekonomi, politik dan kemasyarakatan supaya berlaku aqabah,” katanya dalam diskusi pada Wacana Al-Quran bertajuk Impak Covid-19: Tenggelam Dalam Debu di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panelis ialah Presiden dan Pengasas Mofaz Sdn Bhd, Mohamed Fauzy Abdul Hamid dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah al-Balad.

Mohd Daud berkata, pandemik merupakan makhluk ALLAH yang hidup dalam masyarakat, malah wujud sejak zaman Khalifah Umar Al-Kattab lagi.Katanya, ketika itu, penduduk di sebuah kota di Palestin diserang wabak kolera iaitu jangkitan bakteria melalui saluran air daripada mayat tentera Roman yang tidak diuruskan dengan baik.

“Jangkitan wabak itu menular ke negeri lain sehingga apabila Umar mahu menziarahi melihat keadaan masyarakat, beliau terpaksa menangguhkannya kerana terdengar hadis Nabi mengatakan ‘jika melihat ada penyakit taun, jangan kamu masuk, kalau ditakdirkan kamu berada jangan kamu keluar’.

“Itu bermaksud supaya kuarantin dan tidak bercampur orang sakit dengan orang sihat kerana pada zaman dahulu tiada ubat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, masyarakat kini berdepan pandemik, namun ia diikuti langkah-langkah termasuk kuarantin dan prosedur operasi standard (SOP), selain kajian antivirus perlu diperbanyakkan.

“Saya cadangkan aqabah dalam konteks itu diperluaskan di universiti tempatan serta di peringkat swasta untuk memperbanyakkan makmal antivirus.

“Kita mungkin sekurang-kurangnya boleh menghasilkan ubat antivirus dan usaha itu dikira sumbangan kepada negara dan boleh dijadikan sumber ekonomi.

“Amat penting untuk kita selesaikan isu yang menjadi ‘cekikan’ masyarakat khususnya Covid-19,” katanya mengulas ayat 13 hingga 17 surah al-Balad yang menyentuh lima perkara dalam perjalanan membina negara.

Husaini (kanan) memperdengarkan bacaan surah al-Balad ketika sesi Wacana al-Quran bertajuk Impak Covid-19: Tenggelam Dalam Debu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Husaini (kanan) memperdengarkan bacaan surah al-Balad ketika sesi Wacana al-Quran bertajuk Impak Covid-19: Tenggelam Dalam Debu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.