X

Kindly register in order to view this article
!

Hafizh Syahrin mulakan perbincangan bersama dua pasukan

Hafizh Syahrin Abdullah
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan sudah mengadakan perbincangan awal bersama dua pasukan bagi memastikan beliau kekal dalam saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim hadapan.

Tanpa mendedahkan nama dua pasukan berkenaan, pelumba pasukan Aspar Team Moto2 itu menjelaskan perbincangan dengan dua pasukan tersebut masih di peringkat awal.

Pelumba berusia 26 tahun itu juga berkata buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan dalam baki empat perlumbaan iaitu GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol pada 23-25 Ogos, GP Eropah (6-8 November) dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol (13-15 November), serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve (20-22 November).

“Buat masa sekarang, saya tak ada letak apa-apa harapan kerana saya masih fokus beri yang terbaik kepada pasukan saya sekarang. Apapun, kalau ada rezeki, saya akan sambung dan jika sebaliknya, saya percaya ada rezeki di tempat lain,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, Aspar Team Moto2 mengesahkan khidmat pelumba Sepanyol, Albert Arenas dari pasukan Aspar Team Moto3 untuk mewakili pasukan berkenaan dalam saingan Moto2 musim hadapan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Hafizh Syahrin bersama pasukan itu.

Hafizh Syahrin bakal mengakhiri penampilannya bersama Aspar Team Moto2 pada penghujung musim ini.
Hafizh Syahrin bakal mengakhiri penampilannya bersama Aspar Team Moto2 pada penghujung musim ini.

Arenas, yang bakal bergandingan dengan rakan senegaranya, Aron Canet musim depan kini mendahului carta kedudukan Moto3 dengan 144 mata, manakala Canet di tangga ke-11 dalam carta Moto2 selepas mengutip 61 mata daripada 11 perlumbaan setakat ini.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengesahkan, beliau ada memberi maklumat mengenai Hafizh Syahrin kepada beberapa pasukan lain.

“Saya tidak terlibat langsung dengan perbincangan antara pihak Hafizh Syahrin bersama beberapa pasukan berkenaan memandangkan beliau sendiri sudah mempunyai pengurus.

"Saya tidak pasti dengan pasukan mana beliau berhubung, tapi saya ada kenalkan dia dengan beberapa pasukan lain,” katanya.

Hafizh Syahrin kini mengutip 18 mata untuk menduduki tangga ke-21 carta pelumba Moto2. Pencapaian terbaik pelumba kelahiran Selangor itu pada musim ini adalah meraih kedudukan keenam di GP Sepanyol pada Julai lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!