DBKL usaha kekal, pulihara kampung tradisi

DBKL akan memastikan kampung-kampung tradisi di ibu negara tidak ketinggalan dari arus pembangunan.
DBKL akan memastikan kampung-kampung tradisi di ibu negara tidak ketinggalan dari arus pembangunan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pewartaan kampung-kampung tradisi di ibu negara menjadi antara agenda yang akan diberi perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merangka Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan, berkata, ia sebagai usaha memulihara dan memelihara nilai tradisi serta semangat komuniti kampung yang kini kian terhakis.

Menurutnya, DBKL akan memastikan kampung-kampung tradisi yang ada di ibu negara tidak tertinggal dari arus pembangunan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur lebih sempurna.

"Terdapat kira-kira tujuh ke lapan kampung tradisi di Kuala Lumpur termasuk Kampung Puah, Kampung Chubadak, Kampung Sungai Mulia, Kampung Sungai Penchala, di Sungai Besi serta Sentul Pasar.

"Kampung-kampung ini akan disusun atur semula dan infrastruktur ditambah balik supaya kemudahan asas sesuai dengan keadaan di Kuala Lumpur agar penduduk tidak ketinggalan. Semangat gotong-royong juga akan dihidupkan semula," katanya sempena temubual khas 100 hari sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha untuk pewartaan kampung-kampung berkenaan akan dibincangkan bersama pihak Kementerian Wilayah Persekutuan agar kawasan terlibat terpelihara daripada pembangunan yang keterlaluan.

"Apabila mahu menjaga kampung-kampung ini, kawasan sekeliling kampung jangan dibina bangunan yang tinggi-tinggi. Boleh ada pembangunan tetapi tidak terlalu padat," katanya.

Norhisham berkata, sebarang tindakan bagi kampung-kampung terlibat akan diusahakan menerusi rancangan Pelan Tempatan KL 2040 yang akan melibatkan semua pihak dari segenap lapisan warga kota.

Artikel Berkaitan:

DBKL kini menyusun pelan bagi usaha penyuraian trafik yang lebih baik.
DBKL kini menyusun pelan bagi usaha penyuraian trafik yang lebih baik.

Katanya, penglibatan warga kota penting bagi mencorakkan Kuala Lumpur untuk tempoh 20 tahun tanpa sebarang isu berbangkit.

"Apabila pameran dan perbincangan dilaksanakan bagi kita merancang pelan pembangunan, kita mahu warga kota perlu turut sama terlibat dan beri komitmen bagi merancang Kuala Lumpur untuk masa depan.

"Jangan apabila mereka tidak terlibat ketika perancangan dibuat, kemudian pelan telah digazetkan, mereka mahu ubah itu ini," katanya.

Tambah beliau, semua pihak diberi peluang untuk menyatakan pandangan tentang sebarang perlaksanaan kerana Kuala Lumpur merupakan milik bersama, bukannya milik Datuk Bandar.

"Sebab itu kita mahu bagi (peluang) kepada orang-orang Kuala Lumpur dan bukan setakat DBKL yang merancang tetapi keseluruhan penduduk diberi peluang bagi pandangan walaupun mereka orang biasa," katanya.

Dalam pada itu, Norhisham berkata, beliau juga komited memastikan kawasan hijau yang ada di ibu negara dikekalkan memandangkan sebahagian dari kawasan Kuala Lumpur disifatkan sudah tepu untuk pembangunan.

"Boleh kata 50-50 tepu tapi kita masih ada tanah, seperti di Bukit Nanas, Bukit Tunku, Taman Tugu.. kawasan hijau kita akan kekalkan dan tak akan diteroka pada masa akan datang, tiada lagi jualan-jualan tanah.

"Ada sesetengah (kawasan) dah tepu..antaranya segi tiga emas, Bangsar South, kita tengok trafik sesak setiap hari," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam berdepan isu kesesakan trafik di ibu negara juga DBKL kini menyusun pelan bagi usaha penyuraian trafik yang lebih baik.

"Perbincangan dibuat memastikan trafik bagi laluan-laluan utama yang mengalami kesesakan seperti Jalan Kuching ke Jalan Kinabalu lebih lancar.

"Kita tidak boleh selesaikan masalah trafik di Kuala Lumpur tapi kita boleh kurangkan," katanya.