Teknik akses wajah ganti kad pengenalan di Singapura

Gambar fail menunjukkan seorang pengguna menggunakan wajahnya sebagai pengenalan diri semasa membuka telefon pintar iPhone di San Francisco, California, Amerika Syarikat. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pengguna menggunakan wajahnya sebagai pengenalan diri semasa membuka telefon pintar iPhone di San Francisco, California, Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Bermula pada tahun depan, kira-kira empat juta-juta penduduk di Singapura boleh mengakses perkhidmatan online agensi-agensi kerajaan, perkhidmatan perbankan dan pelbagai kemudahan lain dengan hanya menggunakan wajah masing-masing.

Penggunaan wajah sebagai pengesahan identiti itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan sistem pengesahan wajah dalam Program Pengenalan Diri Digital Kebangsaan SingPass.

SingPass pula adalah identiti digital setiap penduduk Singapura dan ia dilancarkan pada tahun 2003 oleh kerajaan.

Pemiliknya dibenarkan mengakses lebih 500 perkhidmatan digital yang ditawarkan oleh lebih 180 agensi kerajaan dan syarikat komersial di negara berkenaan.

Singapura juga dikatakan merupakan negara pertama di dunia yang melaksanakan program tersebut dan dijangka menggantikan penggunaan kad pengenalan yang selama ini digunakan oleh rakyat di negara tersebut.

Kerajaan Singapura juga dilaporkan membenarkan sektor swasta untuk memanfaatkan infrastruktur pengenalan diri SingPass yang dihasilkan oleh kerajaan.

Bank-bank dan lain-lain perniagaan yang kecil atau besar boleh mengintegrasikan pengesahan wajah SingPass tanpa menghasilkan sistem mereka sendiri yang sudah semestinya melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Kerajaan juga menggunakan teknologi mengesahkan wajah itu di lapangan-lapangan terbang untuk pemeriksaan keselamatan ke atas pelawat-pelawat asing.

Artikel Berkaitan:

Teknologi itu sebelum ini pernah digunakan oleh para pemilik telefon pintar iPhone untuk membuka alat komunikasi tersebut.

Bagaimanapun, usaha pemerintah negara itu dianggap sebagai cita-cita yang paling tinggi dan yang pertama di dunia bagi mengesahkan dan memastikan wajah penduduknya adalah sama dengan yang terdapat pada pangkalan data pengenalan diri kebangsaan negara berkenaan.

Pengimbasan satu siri wajah seseorang yang dirakamkan dalam pelbagai bentuk pencahayaan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia disempadankan dengan data-data lain yang sudah terdapat dalam simpanan kerajaan seperti kad pengenalan, pasport dan pas pekerja.

Seorang kakitangan kerajaan Singapura menunjukkan cara penggunaan teknologi menggunakan wajah untuk mengakses perkhidmatan online agensi pemerintah di negara itu baru-baru ini. - Foto AFP
Seorang kakitangan kerajaan Singapura menunjukkan cara penggunaan teknologi menggunakan wajah untuk mengakses perkhidmatan online agensi pemerintah di negara itu baru-baru ini. - Foto AFP

Justeru, kawalan keselamatan diperlukan bagi memastikan ia selamat seperti kata seorang perunding keselamatan, Lee Sea Lin daripada Toppan Ecquaria Pte. Ltd. yang bekerjasama dengan Agensi Teknologi Kerajaan yang melaksanakan teknologi tersebut.

"Kami mahu mempunyai jaminan bahawa seseorang yang berdiri di depan alat pengimbas itu benar-benar seorang individu dan bukannya satu gambar atau rakaman video," Sea Lin dilaporkan sebagai berkata kepada AFP.

Firma-firma swasta telah menandatangani inisiatif itu dan DBS Bank yang terbesar di Singapura merupakan sebahagian daripada percubaan tersebut.

Para pelanggan bank itu dibenarkan menggunakan teknologi tersebut untuk membuka akaun mereka.

Teknologi itu dijangka digunakan di pelabuhan dan untuk mengesahkan identiti pelajar yang mengambil peperiksaan.

Sistem itu secara automatik akan membolehkan empat juta pengguna SingPass mengesahkan diri masing-masing dan membuktikan mereka benar-benar hadir apabila membuat pengesahan wajah apabila mengakses perkhidmatan kerajaan menerusi komputer atau kiosk.

Aktiviti-aktiviti seperti menyempurnakan borang cukai boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi pengesanan wajah bagi menggantikan penggunaan kata laluan.

Pengesahan wajah itu disediakan oleh iProov iaitu pembekal maklumat pengesahan biometrik online, lapor portal berita govtechreview.com.

Ia menggunakan sebuah kamera pada telefon pintar, komputer atau kiosk bagi mengesahkan sama ada seorang pengguna itu sepadan dengan nombor pengenalan digitalnya.

Sistem tersebut akan memeriksa sama ada imej yang sedang disahkan itu juga bukan hanya merupakan gambar atau ia adalah imej daripada video.

Kira-kira empat juta rakyat Singapura yang menggunakan kad SingPass akan menggunakan teknologi pengesahan wajah untuk menggunakan pelbagai perkhidmatan di Singapura pada tahun depan. - Foto AFP
Kira-kira empat juta rakyat Singapura yang menggunakan kad SingPass akan menggunakan teknologi pengesahan wajah untuk menggunakan pelbagai perkhidmatan di Singapura pada tahun depan. - Foto AFP

Bagi pengguna yang tidak ada telefon pintar, perkhidmatan itu boleh didapati di kios-kios agensi kerajaan di seluruh Singapura.

"Teknologi itu masih jauh daripada baik," kata seorang pegawai penyelidik firma Privacy International, Tom Fisher kepada AFP.

Beliau berkata, sistem seperti yang dirancang oleh kerajaan Singapura itu meninggalkan banyak "peluang untuk dieksploitasi" seperti penggunaan data untuk mengesan seseorang.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif iProov, Andrew Bud berkata, keputusan kerajaan Singapura adalah satu tanda pengesahan pencapaian teknologi dalam mengesahkan wajah.

"Teknologi itu telah maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia kini menyediakan tahap keselamatan yang tinggi untuk pengesahan wajah satu program pengenalan digital kebangsaan.

"Melalui iProov, penduduk di Singapura mempunyai keyakinan tinggi terhadap keselamatan mereka di internet," ujarnya kepada govtechreview.com. - Agensi