SOP benarkan aktiviti sukan, rekreasi tidak terpakai di Sabah

Masidi pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.
Masidi pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak terpakai di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun mengingatkan perkara itu kepada orang ramai bahawa aktiviti sukan dan rekreasi di Sabah masih tidak dibenarkan lagi.

"Aktiviti sukan dan rekreasi di Sabah adalah masih tidak dibenarkan," katanya bagi menjelaskan mengenai larangan aktiviti sukan dan rekreasi di Sabah pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masih ada individu melakukan aktiviti bersukan dan beriadah di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sudah dikuatkuasakan sejak 13 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ada individu ingkar SOP PKPB

Dalam pada itu, Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Sabah melaporkan sebanyak 643 kes koronavirus (Covid-19) direkodkan di Sabah hari ini.

"Bilangan kematian adalah tiga orang dan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 8,082 kes.

"Sehingga hari ini, seramai 2,970 pesakit dilaporkan telah sembuh dan seramai 5,048 pesakit sedang menerima rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, menurut statistik kes jangkitan Covid-19 mengikut daerah hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi iaitu 253 kes diikuti Tawau (135), Sandakan (52), Lahad Datu (40) dan Semporna (30).

Daerah Putatan mencatatkan sebanyak 33 kes, Tuaran (27), Penampang (20), Papar 15, Kota Belud (14), Kudat dan Kinabatangan masing-masing empat kes, Kunak dan Ranau dua kes dan Kota Marudu, Tenom serta Beluran masing-masing satu kes.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, bekalan makanan di Sabah terkawal dan mencukupi untuk rakyat di negeri ini.