Covid-19: Harga vaksin diperhalusi sebelum dimuktamadkan

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga vaksin koronavirus (Covid-19) yang ditetapkan oleh gabungan Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) merupakan antara perkara yang diperhalusi kerajaan sebelum perolehan dimuktamadkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Covax telah menetapkan harga bagi vaksin itu walaupun masih belum berjaya dihasilkan.

"Biasanya kalau hendak membeli sesuatu, kita perlu tahu harganya tetapi (ini) vaksin belum ada, kita dikehendaki membayarnya," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, selain tidak wujud, harga yang dijual kepada Malaysia juga didapati berbeza daripada negara lain.

"Kenapa ia bukan harga sama? Katalah kita beli harga A, negara lain beli pada harga B iaitu lebih murah," katanya.

Beliau berkata, isu liabiliti juga antara yang sedang diperhalusi kerajaan.

"Kalau ada komplikasi penggunaan vaksin tersebut, kerajaan yang perlu bertanggungjawab bukannya syarikat," katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, penting bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan setiap vaksin yang digunakan selamat kepada umum.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, banyak isu yang dilihat tidak memihak kepada kita," katanya.

Bagaimanapun katanya, Malaysia masih bersetuju berada dalam gabungan Covex supaya berpeluang berbincang dengan negara lain antara kerajaan (G2G).

Menurutnya, setakat ini, kajian fasa tiga vaksin Covid-19 telah dijalankan namun belum ada data yang diumumkan.

"Secara teknikalnya, kita lihat kepada keberkesanan dan komplikasi," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, empat ubatan yang sebelum ini digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati tidak berkesan iaitu Remdesivir, Hydrocloroquine, Lopinavir dan Ritonavir berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh selepas kajian dijalankan terhadap 190 pesakit Covid-19 dengan menggunakan protokol ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, pihaknya mendapati Remdesivir tidak membantu mengurangkan jumlah kematian, mengurangkan kemasukan ke hospital dan menghalang pesakit kategori tiga dan empat menjadi kategori lima.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan daripada kajian bersama bahawa ubat Hydrocloroquine yang digunakan pada suatu masa juga tidak berkesan.

"Begitu juga ubat Lopinavir dan Ritonavir yang satu masa kita gunakan secara 'off label' pada permulaan jangkitan di negara ini didapati tidak berkesan merawat pesakit," katanya.

Justeru, katanya, KKM hanya menggunakan Dexamethasone untuk merawat pesakit Covid-19 yang juga didapati berkesan untuk merawat radang paru-paru.