X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk Paris berhimpun memperingati kematian ngeri guru

Puluhan ribu orang berhimpun di tengah Paris memperingati pembunuhan seorang guru di bandar raya itu.
A
A

PARIS - Puluhan ribu orang berhimpun di Paris dan beberapa buah bandar raya di seluruh Perancis pada Ahad lalu bagi menunjukkan solidariti terhadap seorang guru lelaki yang dipenggal kepalanya oleh seorang remaja etnik Chechen Jumaat lalu.

Penunjuk perasaan di Dataran Place de la Republique memegang poster yang tertera ayat: 'Tidak kepada pemikiran totalitarianisme' dan 'Saya ialah seorang guru' dalam memperingati kematian guru itu, Samuel Paty.

"Anda tidak menakutkan saya. Kami tidak akan takut. Anda tidak akan memecahbelahkan kami. Kami ialah Perancis!" kata hantaran Perdana Menteri, Jean Castex di Twitter.

Castex menghadiri perhimpunan itu yang disertai Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer; Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo dan Menteri Muda Dalam Negeri, Marlene Schiappa.

Sebahagian penunjuk perasaan melaungkan perkataan "Saya ialah Samuel (Paty)". Sebelum ini para penunjuk perasaan pernah melaungkan ayat "Saya ialah Charlie"

selepas beberapa lelaki bersenjata membunuh 12 orang di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada tahun 2015 kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW.

Insiden penggal kepala tersebut juga dipercayai berlaku selepas guru berkenaan menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW sebelum ini.

Dalam tunjuk perasaan itu beberapa orang lagi berkata, "Kebebasan bersuara, kebebasan untuk mengajar."

"Saya di sini sebagai seorang guru, seorang ibu, seorang wanita Perancis dan seorang penyokong republik," kata seorang peserta dalam perhimpunan tersebut.

Serangan di pejabat itu pada tahun 2015 memaksa satu perbincangan kebangsaan di adakan di Perancis mengenai Islam dalam masyarakat sekular.

Selepas serangan di pejabat Charlie Hebdo itu, kira-kira 1.5 juta penduduk berhimpun di Dataran Place de la Republique bagi menyokong kebebasan bersuara.

Pada Ahad lalu, Presiden negara itu, Emmanuel Macron mengarahkan tindakan keras dilakukan dengan segera bagi menangani propaganda Islam menerusi online.

Dalam satu mesyuarat dengan enam orang menteri dan pendakwa raya antipengganas, Jean-Francois Ricard, Macron berkata, tidak akan ada penangguhan (tindakan) terhadap seseorang yang mengendalikan tentangan ke atas republik.

Presiden itu berkata, tindakan akan diambil terhadap sesiapa menyuarakan sokongan ke atas serangan tersebut tetapi tidak memberikan butiran lebih lanjut.

Pihak berkuasa pula berkata, mereka akan menyiasat penulis 80 mesej sokongan ke atas penyerang berkenaan.

Menteri-menteri di Perancis di majlis pertahanan turut bersetuju untuk meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah selepas mereka kembali belajar.

Pada Sabtu lalu, Ricard berkata, guru tersebut menjadi sasaran serangan online kerana menunjukkan kartun-kartun Nabi Muhammad SAW di dalam kelas siviknya.

Pada hujung minggu lalu, ribuan orang juga berhimpun di beberapa bandar raya di seluruh Perancis dengan ratusan daripada mereka berarak ke Nice di pantai selatan iaitu lokasi seorang lelaki membunuh 86 orang pada Julai 2016.

"Setiap orang dalam bahaya sekarang," kata seorang pelajar, Valentine Mule, 18, yang menghadiri perhimpunan di Nice.

Paty dibunuh dalam perjalanan pulang dari sekolah yang menjadi tempatnya mengajar di barat laut Paris pada Jumaat lalu.

Sekeping gambar guru itu dan mesej mengenai pengakuan pembunuhan tersebut ditemui di dalam telefon bimbit seorang remaja lelaki Chechen, Abdullakh Anzorov berusia 18 tahun yang kemudian mati ditembak polis.

Para saksi berkata, suspek pembunuh itu sebelum ini dilihat berada di sekolah tersebut pada Jumaat lalu dan bertanya kepada orang ramai di mana Paty boleh ditemui.

Bapa seorang murid perempuan sekolah itu telah melancarkan satu gerakan bagi menentang guru tersebut dan meminta beliau disingkirkan dari sekolah itu.

Keluarga murid di sekolah itu telah memberikan nama guru berkenaan dan alamat tempatnya mengajar menerusi media sosial beberapa hari sebelum serangan yang menyebabkan Macron melabelkan ia sebagai satu serangan pengganas.

Bapa murid itu dan seorang militan Islam yang terlibat dalam kempen menentang Paty adalah antara yang ditahan termasuk empat anggota keluarga Anzorov.

Serangan pada Jumaat lalu itu adalah yang kedua dilakukan sejak satu perbicaraan bermula pada bulan lalu berhubung kes pembunuhan akibat penyiaran kartun Nabi Muhammad SAW oleh majalah Charlie Hebdo.

Majalah itu sebelum ini menyiarkan semula kartun kontroversi tersebut menjelang perbicaraan itu dan pada bulan lalu, seorang lelaki muda Pakistan mencederakan dua orang di luar bekas pejabat majalah tersebut.

Menurut pihak pengurusan sekolahnya, Paty memberikan pilihan kepada murid-murid Islam untuk keluar dari kelas sebelum guru tersebut menunjukkan kartun-kartun berkenaan dan berkata, beliau tidak mahu hati mereka terguris.

Dalam pada itu, Kedutaan Rusia di Paris berkata, keluarga Anzorov tiba di Perancis dari Chechnya ketika usianya enam tahun untuk mendapatkan suaka politik. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!