Dua penjenayah ditembak mati

Othman (tiga,kanan) menunjukkan revolver yang ditemui dalam kereta penjenayah terbabit
Othman (tiga,kanan) menunjukkan revolver yang ditemui dalam kereta penjenayah terbabit
A
A
A

TEMERLOH - Dua penjenayah warga asing ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dekat Charuk Puting di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu terbunuh di dalam kenderaan jenis Toyota Camry selepas terkena beberapa das tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, kematian penjenayah itu berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah kes pecah masuk dan curi dalam pasar raya, pejabat kerajaan dan kilang membabitkan Pahang dan Terengganu.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan berusia 40-an cedera ringan selepas terkena tembakan pada baju kalis peluru yang dipakai.

"Atas maklumat awam, dua pasukan polis iaitu dari Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Pahang dan Terengganu yang sedang membuat rondaan sekitar Temerloh menemui sebuah kereta jenis Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Jerantut -Temerloh.

"Anggota polis cuba menahan kereta tersebut tetapi pemandunya bertindak memecut laju dan cuba melanggar kenderaan polis. Polis kemudiannya mengejar kenderaan terbabit sehingga kira-kira 25 kilometer (km).

"Suspek beberapa kali menghimpit dan sebaik tiba di Charuk Puting, polis berjaya memintas kereta itu sambil memperkenalkan diri tetapi dibalas dengan beberapa das tembakan dari dalam kenderaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua JSJ Pahang, Superintendan Syahlizan Badrun dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Artikel Berkaitan:

Antara barang yang ditemui dalam kereta terbabit
Antara barang yang ditemui dalam kereta terbabit

Othman berkata, salah satu tembakan terkena baju kalis peluru yang dipakai pegawai serbuan menyebabkan polis bertindak membalas tembakan itu bagi mempertahankan diri.

Menurutnya, polis membuat pemeriksaan di dalam kenderaan penjenayah selepas 15 minit berbalas tembakan dan mendapati kedua-dua mereka sudah meninggal dunia.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk revolver.38 Smith & Wesson berisi empat kelongsong dan sebutir peluru.

"Turut ditemui beberapa peralatan besi termasuk dua alat pemotong besi, sebilah parang panjang, satu kuku kambing, sebuah beg galas warna hitam, dua beg sandang, dua helai baju sejuk warna hitam dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu identiti penjenayah masih belum diketahui dan pihaknya sedang menyiasat sama ada penjenayah terbabit mempunyai rangkaian jenayah lain.

"Kereta juga telah diperiksa dan hasil semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kenderaan terbabit didaftarkan atas pemilik warga asing," jelasnya.

Tambahnya, modus operandi penjenayah terbabit memilih hujung minggu dan cuti umum dengan menebuk peti besi yang mengandungi wang jualan harian.

"Ada kes penjaga keselamatan diikat dan kebiasaan mereka memilih waktu tersebut kerana pada hari itu pihak pasar raya menyimpan wang yang banyak kerana bank ditutup pada hari tersebut.

"Polis percaya kita telah menyelesaikan enam kes curi di negeri ini membabitkan beberapa daerah termasuk Temerloh dan satu lagi di Terengganu sepanjang tahun ini melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM308,245.50," jelasnya.

Beliau memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.