Lebih RM1.7 bilion diperuntukkan, bersedia tambah: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.7 bilion untuk memerangi penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri sejak Februari 2020, dan terus komited bagi memastikan barisan hadapan serta sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tetap komited terhadap usaha menentang Covid-19 dan bersedia untuk menambah peruntukan, jika ada keperluan.

Daripada jumlah tersebut yang telah diperuntukkan setakat ini, katanya, sebanyak RM1 bilion telah disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutamanya bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di saat gelombang terbaharu Covid-19 melanda Sabah, katanya, kerajaan melalui KKM telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan negeri.

“Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Nadma untuk menyokong usaha menangani penularan pandemik tersebut.

Katanya, kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen untuk memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan amat tersentuh dengan sokongan orang ramai, termasuk komuniti perniagaan yang mendalami semangat #kitajagakita, melalui sumbangan derma berbentuk tunai, makanan, peralatan kesihatan dan pelbagai lagi bagi menangani pandemik Covid-19.

Katanya, ini termasuk sumbangan kepada Tabung Covid-19 KKM yang telah diaktifkan semula pada 16 Oktober lepas atas permintaan pelbagai pihak yang ingin membuat sumbangan tunai susulan peningkatan kes jangkitan baru-baru ini.

Beliau berkata, tabung itu juga telah dilancarkan buat kali pertama dari 23 Mac hingga 31 Mei 2020.

“Tabung Covid-19 KKM adalah usaha kerajaan untuk memudah cara niat murni rakyat yang ingin memberikan sumbangan secara sukarela.

“Penyediaan saluran rasmi ini juga bertujuan mengurangkan risiko orang ramai ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus memastikan derma yang dihulurkan akan mencapai objektifnya,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, sejak Februari 2020, kerajaan telah menerima sejumlah RM44.7 juta dalam bentuk derma daripada pihak individu, perniagaan dan juga pelbagai organisasi.

“Dana ini hanya untuk kegunaan memerangi pandemik Covid-19 dan setakat ini, sebanyak RM33.1 juta telah digunakan untuk pembelian PPE dan kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Tengku Zafrul turut menyeru kepada semua pihak agar bekerjasama dalam menangani kenyataan dan berita palsu serta mengelak daripada memberikan gambaran yang salah tentang keadaan semasa Covid-19 sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

“Apa yang lebih penting adalah untuk kita menumpukan perhatian kepada usaha melindungi nyawa, memastikan kelangsungan kehidupan, perniagaan dan ekonomi dalam norma baharu,” katanya. - Bernama