NACP jangan hanya di atas kertas

A
A
A

SEKIRANYA Plan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan Perdana Menteri kelmarin menepati semua aspek yang disasarkan, negara akan bebas dari sebarang bentuk rasuah.

Ertinya lima tahun lagi Malaysia Baharu tidak ada rasuah – walau setengah sen pun – dalam apa juga urusan. Harap-harap kita akan menjadi negara contoh dunia!

Tetapi, lebih baik kita mengakui awal-awal bahawa tidak mudah untuk mencapai tahap sifar rasuah.

Semua orang tahu sejak sekian lama amalan busuk lagi bernajis berat itu sudah wujud, malah diterima sebagai satu budaya dalam sistem kita.

Maka bukan perkara lucu atau lawak bodoh apabila kita mendengar cakap-cakap seperti: “Kalau fail nak naik cepat, kenalah hulur.” Atau: “Kalau hendak lulus, dan dapat lesen, kena duit tomyam...”

Pendek kata ‘hulur-menghulur’, ‘duit tomyam’, ‘duit kopi-O’, ‘duit bawah meja’ dan macam-macam istilah lagi, sudah menjadi rutin rak-yat.

Sebab itu kita ada ‘lesen kopi-O’, ‘permit bawah meja’, ‘ijazah terbang’, malah ada juga ‘PhD beli’. Itu di peringkat bawah, melibatkan orang biasa.

Pada peringkat yang lebih parah, kita melihat bukit ditarah, hutan diteroka, balak dikebas, secara terang-terangan di hadapan mata.

Artikel Berkaitan:

Bukan sehektar tetapi beratus hektar kawasan hutan kita ditebang secara haram, dengan jentera berat dan lori-lori besar keluar-masuk setiap masa.

Biasanya hanya setelah bukit digondolkan, hutan dimusnahkan dan balak diangkut keluar, barulah pihak berkuasa terjaga dan tergesa-gesa untuk bertindak.

Rompakan siang hari dilakukan di hadapan mata, dan pihak berkuasa seperti buta. Kalau bukan rasuah, apakah itu?

Bukan rahsia lagi rasuah @ makan suap @ tumbuk rusuk sudah menular dalam mana-mana sistem kita, untuk sekian lama.

NACP yang dilancarkan Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut tiga sektor utama kerajaan yang mencatat aduan rasuah paling tinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2013 ialah perolehan (42.8%), penguatkuasaan (23.9%), dan pentadbiran & perlesenan (13.4%).

Dinyatakan juga bahawa penjawat awam mencatat peratusan tertinggi aduan rasuah secara keseluruhan, lebih 40%.

Fakta dan angka-angka yang diberikan itu bukan mengejutkan, sebaliknya hanya mengesahkan apa yang dialami rakyat selama ini.

Gambaran negatif bahawa sebahagian kakitangan awam – daripada pencari fail, ketua pengarah hingga ketua setiausaha menerima suapan – bukanlah persepsi, tetapi realiti.

Maka tidak mengejutkan, dan amat mengharukan, apabila rasuah yang membarah sejak sekian lama telah menyebabkan negara kehilangan bukan RM bilion, tetapi RM trilion.

RM trilion telah menggemuk dan membuncitkan perasuah dan keluarga mereka – makan di resto-ran mewah, bercuti di luar negara, berbelanja di seluruh dunia.

Padahal di luar sana kita ada sekian banyak rakyat biasa yang dihimpit kemiskinan, sehingga ada yang mati ketika berebut untuk mendapatkan kupon makan percuma.

Tentu sekali semua orang, termasuk pemimpin pembangkang, menyokong penuh hasrat dan impian untuk menghenti dan membersihkan negara tercinta ini dari rasuah.

Dengan 22 strategi dan 115 inisiatif yang terkandung dalam NACP dan disasarkan kepada setiap aspek pentadbiran, kita telah memulakan langkah bersungguh-sungguh untuk memerangi gejala negatif.

Tetapi strategi dan inisiatif yang indah-indah itu jangan hanya di atas kertas. Sebenarnya semangat dan hasrat yang terkandung dalam NACP telah pun kita dengar sebelum ini, tetapi rasuah tetap berleluasa.

Maka untuk sekali ini kita jangan banyak berteori, jangan terlalu retorik. Plan yang dilancarkan Perdana Menteri itu mesti disusuli setiap masa dengan tindakan-tindakan tegas oleh semua pihak, termasuk oleh rakyat jelata.

Rakyat biasa boleh membantu menjayakan plan ini dengan menghentikan budaya duit kopi, duit bawah meja, duit tomyam dan duit-duit haram yang lain.

Kerajaan khasnya mana-mana pihak berkuasa, hendaklah dari semasa ke semasa mendedahkan apa juga bentuk rasuah, tidak kira siapa pelakunya.

Dan, apa yang lebih penting dan ingin dilihat oleh orang ramai ialah mereka yang ditangkap terlibat dengan rasuah RM berbilion hendaklah segera diheret ke mahkamah.

Tidak cukup sekadar men-dedahkan pertuduhan demi pertuduhan – ada yang telah dihadapkan dengan lebih 40 tuduhan di mahkamah!

Rakyat mahu melihat mereka yang dituduh itu, tidak kira orang kecil atau orang besar, mesti direhatkan di Sungai Buluh, dalam waktu terdekat.

NACP kena buktikan kepada semua, bahawa tiada maaf bagi perasuah.