X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan laksana PKP di kawasan tertentu dinilai: Ismail Sabri

Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menunggu penilaian beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri dan wilayah yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk melaksanakan PKP perlu mengambil kira pelbagai aspek berikutan ia akan menjejaskan ekonomi serta kehidupan rakyat terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan harian jika dilaksanakan.

“Lebih mudah kalau kita hendak kawal daripada segi pergerakan dan tutup semua (perniagaan)... tidak boleh keluar rumah, kilang tutup... tapi perlu lihat kesannya kepada ekonomi negara, juga pada individu yang pendapatannya bergantung kepada sektor perniagaan secara harian.

“Kita sedang buat penilaian dan sedang dapatkan pandangan KKM dan kementerian berkaitan ekonomi seperti MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)... semua ini dikaji dan keputusan akan diumumkan selepas rumusan daripada penilaian dibuat... tapi buat masa ini kita buat PKPB dahulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri mengulas pertanyaan pemberita susulan terdapat cadangan untuk melaksanakan PKP di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta di Sabah berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh orang ramai boleh menyebabkan peningkatan kes penularan koronavirus (Covid-19) di kawasan berkenaan.

Mengenai SOP menjelang perayaan Deepavali pada 14 November ini, beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP terutama di kawasan PKPB termasuk kebenaran bazar perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai terutama penganut Hindu setiap kali menjelang perayaan tersebut.

“Kita akan bentangkan SOP dalam mesyuarat khas dan MKN umumkan apa-apa yang boleh dan tidak boleh (menjelang sambutan Deepavali) tidak lama lagi,” katanya. - Bernama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!