X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Terengganu lupus dadah hampir RM1.6 juta

Roslee Chik (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang akan dilupuskan sempena Majlis Serahan Barang Kes Narkotik untuk Program Pelupusan 2020 di hadapan perkarangan IPK Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.6 juta yang dirampas melibatkan sebanyak 3,602 kertas siasatan sejak 2018 sehingga 2019 dilupuskan hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pelupusan membabitkan dadah antaranya jenis methamphetamine ( 6,778 gram), syabu (4,239 gram), heroin (3,188 gram); ganja (5,459 gram), ubat batuk (2,117 liter), daun ketum (308 kilogram), cecair ketum (1,048 liter), Erimin 5 ( 347 gram) dan ecstacy (21 gram).

"Pelupusan dilakukan setiap tahun bagi memastikan pengurusan barang kes secara teratur selain menjalankan tanggungjawab memastikan dadah dilupuskan seperti yang perintah mahkamah," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik untuk Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Terengganu 2020 di pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Jelas Roslee lagi, program berkenaan bertujuan memberi ruang kepada barang kes baharu serta masih pada peringkat perbicaraan.

"Ia juga dapat mengelak barang kes menjadi lusuh, koyak dan dirosakkan makhluk perosak sekaligus memberi risiko kepada anggota bertugas," katanya.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung.

Sempena majlis berkenaan, Roslee berkata, polis menggunakan khidmat kepakaran daripada Syarikat Kualiti Alam Sekitar Sdn Bhd untuk melaksanakan pelupusan selaras kehendak piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengelakkan penularan koronavirus (Covid-19), Roslee memberitahu, pihaknya mengeluarkan sebanyak 100 kompaun dalam tempoh 18 hari bermula 1 Oktober lalu dengan 12 kompaun dikeluarkan semalam.

Katanya, kebanyakan kompaun serta-merta itu dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan gagal mengamalkan penjarakkan fizikal.

"Bagi mengekang penularan Covid-19, sebanyak 92 pasukan pemantau membabitkan lebih 500 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Terengganu selain turut melakukan 16 sekatan jalan raya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!