Perak tawar diskaun cukai, premium tanah

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan tawaran pengecualian denda lewat dan pemberian diskaun bagi tunggakan cukai tanah serta bayaran premium tanah berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember 2020.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tawaran di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Ketiga itu bertujuan meringankan beban rakyat dan komuniti perniagaan dalam tempoh penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pengecualian denda lewat bagi Cukai Tanah Berulang sehingga 31 Disember 2020 untuk semua jenis hak milik.

"Diskaun pula untuk pembayaran sekali gus tunggakan iaitu sebanyak 30 peratus bagi tunggakan cukai tanah melebihi RM1 juta. Diskaun 25 peratus bagi tunggakan cukai tanah antara RM500,000 hingga RM999,999.

"Diskaun 20 peratus bagi tunggakan cukai di bawah RM500,000 dan 15 peratus bagi mereka yang membayar secara ansuran sehingga 31 Disember 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, selain itu kerajaan negeri turut menawarkan diskaun ke atas bayaran premium tanah bagi Notis 5A dan 7G, namun bagi premium berjumlah RM5 juta dan ke atas pula memerlukan kertas pertimbangan khas ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

"Bagi premium di bawah RM5 juta, diskaun yang ditawarkan ialah 30 peratus bagi premium melebihi RM3 juta hingga RM4,999,999. Diskaun 25 peratus juga bagi premium antara RM2 juta hingga RM2,999,999.

"Diskaun 15 peratus bagi premium antara RM500,000 hingga RM1,999,999 dan diskaun 10 peratus bagi premium di bawah RM500,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, kesemua pemberian diskaun ini terhad kepada notis yang dikeluarkan bagi tahun semasa dengan pembayaran dibuat sebelum 31 Disember 2020.

"Pengecualian denda dan tawaran diskaun ini akan memberi impak kewangan berjumlah RM6.65 juta kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sebelum ini menawarkan pengecualian denda lewat dan diskaun ke atas tunggakan cukai tanah serta bayaran premium tanah bermula dari 21 Mei 2020 hingga 31 Ogos 2020 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Fasa Kedua," katanya.