Statistik terperinci diperlukan untuk agihan sumber berkesan

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik terperinci ke peringkat daerah amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan sehingga peringkat daerah dan memastikan agihan sumber yang berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan, rakyat memerlukan keputusan yang dibuat dengan betul dan berasaskan bukti serta fakta yang menyeluruh dan mencukupi.

“Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan,” katanya pada majlis pelancaran penerbitan ‘My Local Stats 2019’ di sini semalam.

Penerbitan tersebut bersempena Hari Statistik Negara 2020 yang disambut hari ini, serentak dengan Hari Statistik Sedunia.

Mustapa berkata, dengan adanya penerbitan ‘My Local Stats’, penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dibuat dan seterusnya melihat jurang pembangunan yang berlaku antara daerah.

“Saya yakin dengan penghasilan statistik ini, pelbagai kajian pada peringkat daerah dapat dibuat, selain penghasilan indeks pada peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia.

“Justeru, penerbitan ‘My Local Stats’ sangat penting bagi memberi gambaran sebenar mengenai situasi semasa Malaysia pada peringkat tempatan,” katanya.

Menurutnya, penerbitan itu akan menjadi sumber rujukan dan asas penting bagi menggubal serta melaksanakan dasar kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Penerbitan ‘My Local Stats’ merupakan penerbitan kali pertama mengikut daerah dan kali ketiga peringkat negeri yang mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi dan tambahan 20 jadual baharu peringkat daerah berbanding penerbitan tahun sebelumnya. - Bernama