X

Kindly register in order to view this article
!

Majikan terus diingat buat ujian swab pekerja asing

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Majikan yang menggaji pekerja asing diingatkan supaya membuat ujian calitan (swab test) kepada pekerja mereka sebelum dibenarkan bekerja terutama pengawal keselamatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana terdapat kes koronavirus (Covid-19) di pusat beli-belah berpunca daripada pengawal keselamatan warganegara asing.

"Memang dulu SOP (prosedur operasi standard) kami arahkan majikan terutama di Wilayah Persekutuan supaya swab test pekerja asing mereka terlebih dahulu ketika ada kes (Covid-19) dalam pusat beli-belah di Cheras.

"Jadi sekarang kami akan ingatkan semula majikan supaya swab test pekerja terutama pengawal keselamatan untuk elak kejadian berulang seperti di One Utama yang terpaksa ditutup seminggu," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Kluster Utama melibatkan sebuah pusat beli-belah di Petaling, Selangor dan setakat semalam telah merekodkan 183 kes.

Melalui siasatan Kementerian Kesihatan, kluster tersebut berpunca daripada seorang pengawal keselamatan warganegara Nepal pusat beli-belah tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, peraturan hanya membenarkan dua orang dalam satu kenderaan ialah bagi mengawal pergerakan keluar rakyat di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Oleh yang demikian katanya, polis mempunyai budi bicara untuk tidak membenarkan permohonan lebih daripada dua orang dalam satu kenderaan kecuali bagi tujuan mendesak.

"Insya-ALLAH jika ada sebab tertentu, boleh maklumkan kepada pihak polis dan cetak surat kebenaran tersebut bawa ke balai untuk dapatkan cap," katanya menjawab persoalan sama ada permohonan individu untuk membawa lebih dua penumpang dalam satu kenderaan ditolak.

Katanya, selain daripada keperluan perniagaan, kenderaan pekerja atau kecemasan, pihak polis mempunyai sebab tertentu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membawa lebih dua penumpang dalam satu kenderaan. - Bernama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!