LRA Sungai Selangor, Rantau Panjang masih belum beroperasi

Air Selangor
Air Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan LRA Rantau Panjang masih belum beroperasi ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sehingga jam 2 petang, tahap pencemaran bau di Sungai Selangor berada pada tahap 0 Ton, dan bacaan masih tidak konsisten pada tahap 0 Ton selepas diuji sebanyak tiga kali

Kenyataan itu turut menyebut, henti tugas menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan.

"Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 91 lori tangki air ke premis kritikal serta kawasan perumahan yang terjejas.

"Sebanyak 34 tangki statik, 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 21 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut supaya pengguna mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Air Selangor turut menasihatkan pengguna mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan.

"Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.