X

Kindly register in order to view this article
!

Bunuh pesara polis: Dua lelaki termasuk rakan baik mangsa ditahan

Ayob Khan bertemu dengan ahli keluarga pesara polis terbabit selepas proses pengecaman mayat dilakukan di HSA, Johor Bahru.
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki termasuk seorang rakan baik kepada seorang pesara polis yang ditemukan mayatnya ditanam dalam kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang, kelmarin sudah ditahan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rakan baik mangsa itu berusia 37 tahun dan bekerja membantu abangnya yang mempunyai sebuah kedai tayar manakala seorang lagi suspek berusia 41 tahun.

"Kedua-dua suspek ditahan di kedai tayar tersebut pada jam 10 pagi Jumaat lalu. Hasil soal siasat telah mendedahkan tempat mayat pesara polis itu ditanam dalam kawasan kebun kelapa sawit.

"Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan sepasukan pakar patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) kemudian melakukan penggalian dan menemukan satu mayat lelaki di kebun itu kelmarin," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Misteri kehilangan seorang pesara polis sejak 31 Ogos lalu terungkai dengan penemuan mayat itu yang dipercayai adalah Su Kim Chiang, 57, dari Kampung Selatan Kahang, Kluang di sebuah 'kubur' dalam kebun berkenaan.

Mayat yang sudah reput itu ditemukan dalam kubur tersebut dengan kedalaman 0.9 meter iaitu kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ayob Khan berkata, mayat tersebut lengkap berpakaian semasa ditemukan tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, disyaki dibunuh pada malam mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, mangsa bertemu kedua-dua suspek pada jam 12 tengah malam, 31 Ogos lalu dan keluarganya melaporkan kehilangan bekas anggota polis cawangan khas itu pada 1 September lalu.

Katanya, berdasarkan keterangan suspek juga, semalam pihak polis dan bomba menemukan sebuah motosikal milik suspek yang dibuang dalam sebuah sungai di Kluang kira-kira 2 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, laporan bedah siasat mendedahkan mangsa dipukul empat kali di kepala dengan satu objek tumpul dan siasatan mendapati mangsa dibunuh di bilik stor di kedai tayar tersebut sebelum mayatnya ditanam di kebun itu.

Motif pembunuhan itu katanya, apabila mangsa meminta baki hutang RM2,500 daripada mangsa sebelum berkemungkinan berlaku pertengkaran dan berakhir dengan dipukul menggunakan objek tumpul.

Beliau berkata, suspek sebelum ini sudah beberapa kali meminjam wang mangsa namun menjelaskan pesara polis itu bukan ceti haram atau ah long sebaliknya memberi suspek pinjam untuk tujuan perniagaan kerana mereka sudah lama berkawan.

"Waris mangsa sudah dipanggil untuk pengecaman mayat di HSA. Bagaimanapun pengesahan identiti mayat tidak dapat dilakukan kerana mayat telah uzur dan dalam proses pereputan. Waris hanya mengecam pakaian dan perlu menunggu keputusan lanjut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!