PKPD di Penjara Kepayan, kuarters kakitangan mulai esok hingga 2 November

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan penjara itu di Kampung Matambai, Kota Kinabalu, Sabah mulai esok hingga 2 November depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari itu melibatkan 3,511 individu merangkumi 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di kawasan berkenaan.

"Bagi mengawal penularan di penjara serta kawasan kuarters kakitangan dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), pelaksanaan PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dilakukan.

"Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menjelaskan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak pernah dihalang untuk pulang ke tanah air dan mereka perlu memohon MyTravelPass di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen Malaysia www.imi.gov.my.

Mengulas lanjut, bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tidak mahu pulang dengan menggunakan sistem Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), mereka boleh terus ke pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Baharu, kemudian menjalani kuarantin wajib 14 hari.

"Kebenaran adalah bagi Reciprocal Green Lane (RGL) (Laluan Hijau Timbal Balik) dan diumumkan sebelum ini oleh Kementerian Luar. Maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata Pasukan Khas Operasi Pematuhan PKPP menahan 649 individu atas kesalahan ingkar PKPP, dengan 606 dikompaun dan 43 direman, semalam.

Ismail Sabri berkata, tidak memakai pelitup muka adalah kesalahan tertinggi dicatatkan melibatkan 213 individu, diikuti penjarakan fizikal (151), aktiviti di pusat hiburan (75), gagal menyediakan peralatan atau merekodkan butiran diri (67) dan lain-lain kesalahan (143).

Mengenai Ops Benteng, beliau berkata seramai 92 pendatang tanpa izin ditahan, termasuk 26 ditangkap di Johor Bahru, Johor, manakala empat kenderaan dirampas semalam.

Sebanyak 262 sekatan jalan raya Ops Benteng turut dilakukan di seluruh negara, katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 51,235 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam. - Bernama.