Covid-19: 865 kes baharu positif hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 865 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini melibatkan sebahagian besar dikesan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 643 kes iaitu 74.3 peratus dikesan di Sabah.

"Ini (bermaksud) lebih ujian makmal telah dapat dijalankan di Sabah dan yang dihantar ke Semenanjung," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 154 kes iaitu 17.8 peratus hari ini terdiri daripada Kluster Penjara.

"Ia membabitkan Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Tembok dan termasuk empat kes saringan tahanan Penjara Tapah," katanya.

Beliau berkata, Selangor merekodkan 101 kes termasuk satu daripada kluster baharu iaitu Kluster Hentian.

Selain itu katanya, Labuan mencatatkan 34 kes, Pulau Pinang (26), Perak (18), Melaka (16), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Kedah (3), Putrajaya (3), Johor (2), Pahang (1) dan Terengganu (1) kes.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, daripada jumlah kes baharu, terdapat juga tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Empat kes dari China dan masing-masing satu dari Amerika Syarikat, Qatar dan Australia," katanya.

Menurutnya pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang dilaporkan ialah 21,363 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 7,456.

Tambahnya, terdapat 99 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 32 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Dr Noor Hisham memberitahu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menerima tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menyebabkan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia ialah sebanyak 190 kes iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berdasarkan ringkasan kes kematian katanya, kesemua kes dilaporkan daripada hospital di Sabah yang melibatkan pesakit berusia antara 52 hingga 85 tahun.

"Kes ke 188 hingga 190 merupakan dua pesakit lelaki dan seorang wanita iaitu salah seorang daripada mereka mempunyai penyakit kencing manis," katanya.

Sementara itu, seramai 455 pesakit disahkan pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya adalah 13,717 kes iaitu bersamaan 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.