Seorang lagi pegawai penjara positif Covid-19

Seorang pegawai Penjara Seberang Perai disahkan positif Covid-19 semalam dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Seorang pegawai Penjara Seberang Perai disahkan positif Covid-19 semalam dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lagi pegawai di Penjara Seberang Perai, di Jawi, Nibong Tebal disahkan positif koronavirus (Covid-19), semalam menjadikan jumlah yang melibatkan petugas penjara ialah dua orang.

Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, kedua-dua petugas itu ialah warden yang bertugas di blok baharu yang menempatkan banduan yang disahkan positif jangkitan tersebut sebelum ini.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan ke atas ahli keluarga kedua-dua petugas tersebut yang tinggal di kuarters penjara.

"Dua pegawai itu kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang dan mereka dalam keadaan stabil serta dipantau dari masa ke masa.

"Setakat ini hanya ujian saringan keluarga pegawai pertama yang diperoleh dan disahkan negatif," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua 384 pegawai dan kakitangan Penjara Seberang Perai telah menjalani ujian saringan dan hanya dua daripada mereka disahkan positif setakat ini.

"Mereka yang disahkan negatif akan menjalani ujian saringan kedua dalam masa terdekat untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang jangkitan," katanya.

Zulkifli berkata, sehingga kini, hanya 70 orang di blok baharu di penjara itu disahkan positif melibatkan banduan yang baru dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke penjara sejak bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira 700 banduan baru tinggal di blok tersebut dan mereka diasingkan daripada banduan lama bagi memastikan tiada penularan virus. Separuh daripada mereka sudah menjalani ujian saringan," katanya.

Jelasnya, pihaknya menyediakan satu blok khas yang dijadikan wad rawatan untuk banduan yang disahkan positif dan satu lagi untuk mereka yang pulih daripada jangkitan.

"Setakat ini, semua banduan yang dijangkiti berada dalam keadaan stabil," katanya.

Kelmarin, Pulau Pinang mencatatkan kes positif Covid-19 pertama membabitkan pegawai penjara di Penjara Seberang Perai di Jawi, Seberang Perai Selatan.

Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Jawi menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini yang mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang susulan kematian seorang banduan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.