15,000 orang jemaah umrah selepas tujuh bulan

Beberapa warga dan penduduk Arab Saudi mengerjakan solat subuh di Masjidil Haram, Makkah pada 18 Oktober lalu. - Foto AFP
Beberapa warga dan penduduk Arab Saudi mengerjakan solat subuh di Masjidil Haram, Makkah pada 18 Oktober lalu. - Foto AFP
A
A
A

MAKKAH - Arab Saudi semalam membenarkan umat Islam mengerjakan solat buat pertama kali dalam tempoh tujuh bulan di Masjidil Haram, Mekah dan menambahkan bilangan jemaah umrah kepada 15,000 orang susulan pelonggaran peraturan yang dikenakan ketika wabak koranavirus (Covid-19) melanda negara itu.

Rakyat dan penduduk di negara beraja itu yang memakai pelitup muka dibenarkan untuk bersolat di dalam masjid tersebut dengan tidak mengabaikan langkah berjaga-jaga menangani Covid-19.

"Semua penduduk dibenarkan bersolat subuh di Masjidil Haram di ibu kota Mekah hari ini (semalam) ketika pihak berkuasa memulakan fasa kedua penyambungan umrah secara beransur-ansur," lapor Saudi Press Agency.

Pada awal bulan ini, Arab Saudi membenarkan kira-kira 6,000 warga dan penduduk di negara itu mengerjakan ibadat umrah pada setiap hari selepas ia tidak dibenarkan pada bulan Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.

Berdasarkan fasa kedua yang bermula semalam, bilangan jemaah umrah ditingkatkan kepada 15,000 setiap hari.

Kira-kira 40,000 umat Islam iaitu jumlah maksimum penganut agama Islam termasuk jemaah umrah dibenarkan untuk bersolat di masjid tersebut.

Berdasarkan fasa ketiga yang akan bermula pada 1 November ini, umat Islam dari luar Arab Saudi akan dibenarkan melakukan ibadat umrah.

Had limit jumlah jemaah umrah kemudian akan dipertingkatkan kepada 20,000 orang dengan jumlah keseluruhan yang dibenarkan adalah sehingga 60,000 pada satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi benar ibadah umrah bermula 4 Oktober ini

Fasa ketiga untuk jemaah umrah warga asing

Menurut media kerajaan, pelbagai langkah keselamatan dilaksanakan ketika ibadat itu dibenarkan ketika Covid-19 masih melanda negara tersebut.

Bagaimanapun, batu hitam pada Kaabah yang dikenali sebagai Hajarul Aswad tidak dibenarkan disentuh jemaah umrah.

Masjidil Haram pula perlu dibersihkan daripada kuman sebelum dan selepas setiap kumpulan jemaah umrah mengerjakan umrah.

Alat pengimbas suhu badan juga dipasang bagi mengukur suhu para jemaah, kata pihak berkuasa Makkah.

Arab Saudi merekodkan lebih 342,000 kes Covid-19 dan 5,185 kematian sejak pandemik Covid-19 bermula pada tahun di Wuhan, China.

Pada lewat Julai lalu, Arab Saudi membenarkan sehingga 10,000 umat Islam di negara itu mengerjakan ibadat haji yang merupakan jumlah terkecil berbanding 2.5 juta umat Islam pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Pada kebiasaannya, berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadat umrah pada setiap tahun.

Pihak berkuasa berkata, selepas pandemik Covid-19 berakhir, umat Islam dibenarkan untuk mengerjakan ibadat tersebut dalam jumlah yang ramai. - AFP