Usaha pulih ekonomi sukar jika moratorium automatik dilanjutkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pemulihan ekonomi akan lebih sukar diurus malah boleh merugikan semua pihak sekiranya kemudahan lanjutan penangguhan bayaran balik atau moratorium secara automatik dilaksanakan semula, kata seorang penganalisis.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini berikutan proses memulihkan ekonomi negara itu sememangnya memerlukan suntikan dana, termasuk daripada institusi perbankan.

Malah beliau menegaskan, jika pihak bank gagal menyalurkan dana kepada sektor perniagaan dan isi rumah pada kadar dan tempoh yang tepat, juga boleh menjejaskan proses pemulihan ekonomi terbabit.

“Perkara seperti ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan para peniaga, pelabur dan masyarakat yang mana akhirnya akan merugikan semua pihak.

“Ini kerana hakikatnya, institusi perbankan ini adalah nadi atau jantung dalam (menggerakkan) satu-satu ekonomi itu,” kata beliau dalam kolum Tinta Minda di laman sesawang www.bernama.com hari ini.

Menurut Mohd Afzanizam, pelaksanaan moratorium automatik secara berterusan juga dikhuatiri menyebabkan pihak bank sukar menyalurkan pembiayaan dengan lancar berikutan tahap kecairan atau mudah tunai rendah serta penyusutan modal selain boleh mengurangkan kutipan hasil jika dilaksanakan dalam tempoh yang lama.

“Aspek seperti modal yang mencukupi serta tahap kecairan tinggi adalah perkara pokok untuk institusi perbankan menjalankan perniagaannya.

“Dua perkara inilah yang membolehkan pihak bank untuk terus memberi pembiayaan kepada isi rumah dan para peniaga yang sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan -- Separuh Pertama 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, peratusan isi rumah yang memilih untuk meneruskan moratorium automatik susut daripada 86.9 peratus pada April kepada 85.5 peratus pada Mei dan seterusnya 84.4 peratus pada Jun lepas.

Mohd Afzanizam berkata, data terkini pula menunjukkan ramai peminjam juga telah memilih untuk membayar balik hutang meskipun tempoh moratorium belum berakhir.

“Ini jelas menunjukkan bahawa tidak semua rakyat memerlukan moratorium kerana ada yang tidak terjejas dari sudut ekonomi berikutan penularan Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa moratorium itu turut memberi kesan sampingan seperti tempoh hutang yang lebih lambat untuk dilangsaikan sesuatu yang ingin dielak ramai.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menegaskan, sebarang langkah untuk memulihkan ekonomi perlu diteliti dari sudut kesan serta tujuannya.

“Sebarang bentuk bantuan perlulah menepati keperluan dan golongan sasaran bagi mengelakkan sebarang pembaziran terhadap sumber-sumber yang sememangnya bersifat terhad,” katanya. - Bernama