Tiga lelaki samun beg berisi RM1.6 juta diberkas

Saiful Azly (dua dari kiri) melihat barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.
Saiful Azly (dua dari kiri) melihat barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung kes samun seorang pekerja sebuah syarikat wang kripto yang membawa beg berisi wang tunai RM1.6 juta 8 Oktober lalu.

Siasatan awal mendapati suspek telah mengekori mangsa kira-kira lima hari sebelum kejadian di tempat letak kereta di pusat membeli belah di Kepong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis menahan kesemua suspek berusia berusia antara 31 dan 42 tahun secara berasingan di sekitar ibu negara Jumaat lalu selain merampas wang tunai RM1.03 juta, beberapa jongkong emas dan barang kemas.

"Siasatan juga mendapati suspek telah menghabiskan sejumlah wang untuk membeli sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

"Kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman sehingga 22 Oktober ini," katanya.

Saiful Azly turut menasihatkan pemilik premis yang berurusan dengan wang tunai tidak mengarahkan pekerja menggunakan laluan sama setiap hari bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah selain mengupah syarikat kawalan keselamatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua beranak berusia 23 dan 49 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan kes seorang wanita maut selepas menerima rawatan di sebuah pusat kecantikan berdaftar di Cheras.

Saiful Azly berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati mangsa pergi ke pusat kecantikan tersebut untuk menjalani proses penyedutan lemak namun pusat itu memaklumkan tidak mempunyai kemahiran berkenaan.

"Mangsa bagaimanapun mahu meneruskan proses tersebut dan mengakibatkan sesak nafas serta pengsan.

"Pemilik premis menghubungi ambulans sebelum dilaporkan meninggal dunia," katanya.