Satu bas dua lori kemalangan

Keadaan lori tangki yang merempuh bas ekspress. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan lori tangki yang merempuh bas ekspress. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

TAPAH - Kemalangan tiga kenderaan diKM329.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua laluan melibatkan sebuah bas ekspres dan buah lori, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kejadian berlaku sekitar jam 7.20 petang itu menyebabkan seorang pemandu lori tangki cedera dan dikejarkan ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan.

"Kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa empat penumpang dari Kamunting, Perak menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebuah lori treler membawa muatan kertas dan sebuah lori tanker.

"Pemandu lori tanker mengalami kecederaan , manakala pemandu bas dan lori membawa muatan kertas tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Wan Azharuddin siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan kertas dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang dilanggar lori tangki dari arah belakang di lokasi kejadian.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut lori membawa muatan kertas tersebut telah hilang kawalan dan terbalik ditengah laluan menuju ke utara.

"Lori tangki pula hilang kawalan dan melanggar penghadang besi di tengah lebuhraya sebelum memasuki ke laluan bertentangan lalu melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan menuju ke selatan," katanya.

"Akibat daripada itu pemandu lori tangki berkenaan cedera dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, PLUS melalui akaun Twitternya melaporkan kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan lalulintas sepanjang empat kilometer di kedua-dua arah ekoran kedua-dua laluan dihadang oleh dua buah lori tersebut.

PLUS turut memaklumkan kedua-dua laluan dibuka semula selepas ia dilecongkan ke Plaza Tol Tapah.