Covid-19: Sebuah lagi masjid di Terengganu ditutup tiga hari

Kelihatan pasukan bomba bersedia bagi melakukan proses sanitasi di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus. - Foto ihsan bomba
Kelihatan pasukan bomba bersedia bagi melakukan proses sanitasi di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUALA NERUS - Masjid Wakaf Tembesu di sini ditutup selama tiga hari bagi proses sanitasi bermula semalam setelah terdapat pesakit kes positif koronavirus (Covid-19) yang menunaikan solat di masjid berkenaan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, kerja-kerja sanitasi di bangunan masjid itu telah bermula semalam dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

“Keputusan penutupan sementara ini dibuat bagi mengelakkan berlakunya penularan atau jangkitan kes, di samping memudahkan proses sanitasi di seluruh kawasan masjid.

“Arahan penutupan ini dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kita ambil langkah pencegahan ini demi keselamatan masyarakat setempat. Bagaimanapun, masyarakat tidak perlu cemas kerana kita telah mengambil langkah pencegahan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, sebanyak tiga buah masjid dan surau di Terengganu telah ditutup sementara bagi kerja membasmi kuman.

Sementara itu, sebuah restoran makanan segera di Gong Badak juga ditutup selama tiga hari sehingga esok bagi proses sama dengan notis perintah penutupan premis turut ditampal di pintu premis berkenaan.

Artikel Berkaitan: