AMK gesa siasat sogokan politik PM

AMK Kedah tampil membuat laporan polis menggesa siasatan dijalankan berhubung tawaran jawatan GLC oleh perdana menteri.
AMK Kedah tampil membuat laporan polis menggesa siasatan dijalankan berhubung tawaran jawatan GLC oleh perdana menteri.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menggesa siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan melakukan sogokan politik terhadap Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari berkata, ia berdasarkan paparan surat undi tidak percaya yang dimuat naik menerusi laman sosial Ahli Parlimen Gua Musang itu pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, perkara itu telah menimbulkan persoalan berhubung pelanggaran perlembagaan dan undang-undang sedia ada selain kesal dengan tindakan Muhyiddin yang didakwa bertujuan sebagai 'political survival'.

"AMK Kedah telah membuat laporan polis berasaskan kepada satu kenyataan dan surat usul undi tidak percaya yang dikeluarkan Tengku Razaleigh menerusi akaun Twitter dan Facebook milik beliau. Pada perenggan ketujuh beliau menyatakan dengan jelas telah ditawarkan jawatan penasihat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) oleh perdana menteri," katanya kepada Sinar Harian.

Mohammed Firdaus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini
Mohammed Firdaus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum ini, AMK Malaysia, AMK Johor, AMK Negeri Sembilan dan AMK Melaka telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Terdahulu, satu surat usul undi tidak percaya kepada perdana menteri bertarikh 25 September 2020 yang diserahkan Tengku Razaleigh kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat telah dimuat naik di laman sosial wakil rakyat terbabit.

Dalam surat berkenaan, Razaleigh memaklumkan bahawa perdana menteri telah menawarkan jawatan GLC kepadanya.

Artikel Berkaitan: