Pembesaran LTAPP: Kerajaan negeri belum terima maklum balas MOT

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung status pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menunggu hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang sedang dijalankan Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu dan dijangka siap pada 2023.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa projek pembesaran LTAPP itu akan dilaksanakan kerajaan Pusat seperti yang dirancang sebelum ini.

"Saya tidak bersetuju jika mahu mengatakan bahawa kerajaan Pusat tidak ingin meneruskan projek ini kerana dalam mesyuarat antara kerajaan negeri, kerajaan Pusat serta Malaysia Airport Berhad (MAB), mereka masih berminat untuk melaksanakan projek ini.

"Persetujuan tersebut turut dimaklumkan dalam mesyuarat antara kerajaan negeri bersama Kementerian Pengangkutan dan MAB sebelum ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung punca utama kerajaan Pusat tidak mahu meneruskan projek pembesaran LTAPP serta kuasa sebenar kerajaan negeri dalam projek tersebut.

Tambahnya, kerajaan negeri memohon supaya kajian NASP tersebut mendahulukan wilayah utara supaya keputusan awal dapat diambil termasuk bagi projek pembesaran LTAPP.

Dalam pada itu, menjawab mengenai tanggungjawab dan peranan kerajaan negeri, Kon Yeow berkata, pihaknya akan membantu kerajaan Pusat dari segi pengambilan tanah dan penempatan semula penduduk sekiranya projek pembesaran LTAPP perlu diperluaskan.

Artikel Berkaitan:

"Pada perancangan awal, pembesaran LTAPP adalah untuk menampung 12 juta penumpang, bagaimanapun, terdapat cadangan agar pembesaran LTAPP dapat diperluaskan untuk menampung 16 juta penumpang setahun.

"Cadangan itu mengambil kira kerancakan pembangunan di negeri ini yang mana kapasiti asal 12 juta penumpang setahun tersebut dapat dilepasi dengan mudah dan cepat.

“Bagaimanapun, jika cadangan 16 juta penumpang setahun dilaksanakan, ia akan melibatkan tanah-tanah di luar sempadan LTAPP ketika ini termasuk sebuah sekolah Cina, kuarters dan binaan tanah pemilik serta milik kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status pembinaan tempat letak kereta bertingkat di LTAPP sehingga 30 September lalu, Kon Yeow berkata, ia kini mencapai 94 peratus siap.

"Projek ini tidak dapat disiapkan mengikut waktu yang telah ditentukan susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Persekutuan yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan di tapak terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

"Cadangan tempoh siap pada mulanya adalah pada penghujung April tahun ini. Projek ini telah disambung semula pembinaannya pada 11 Jun lalu setelah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa. Dijangka ia boleh digunakan pada suku pertama tahun depan," katanya.